MUSTAFAR berucap  pada perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MUSTAFAR berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


JABATAN Imigresen tidak akan melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Rehiring dan 3+1 yang akan berakhir pada 31 Disember.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menegaskan, tempoh pelaksanaan bagi kedua-dua program itu adalah mencukupi sekali gus ia tidak perlu dilanjutkan.

"Justeru, jangan tunggu sehingga saat akhir untuk mendaftar bagi program itu kerana kita tidak akan melanjutkannya.

"Sama seperti pelaksanaan program E-kad sebelum ini yang tidak dilanjutkan tempoh, jadi mereka perlu segera mendaftar sekali gus mengelak dikenakan tindakan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, operasi besar-besaran bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) serta majikan akan dilaksanakan selepas tamat pendaftaran program itu.

"Operasi ini memang dilakukan setiap hari dan kita tidak akan berhenti sehinggalah semua pekerja asing bekerja di negara ini secara sah," katanya.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, Program 3+1 adalah untuk PATI menyerah diri kepada Jabatan Imigresen bagi pengusiran dengan membayar denda RM400 seterusnya mereka membeli tiket untuk pulang ke negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 7:41 PM