Mustafar memeriksa dokumen PATI yang ditahan. FOTO ihsan JIM
Mustafar memeriksa dokumen PATI yang ditahan. FOTO ihsan JIM
Rudy Fazrunisyam Samarudin


SERAMAI 514 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi, Johor dalam dua operasi serentak yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.

Operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 4 pagi itu turut menyaksikan seramai 1,399 pekerja asing di lima premis pusat urut dan dua premis penempatan pekerja asing di Kawasan Perindustrian Tebrau IV dan Kota Tinggi serta Johor Bahru diperiksa dalam Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan JIM Ibu Pejabat Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semua PATI yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, seramai 514 PATI ditahan terdiri daripada 490 lelaki dan 24 wanita warga Bangladesh, Indonesia, Nepal, Myanmar, China, Thailand dan India.

“€œMereka ditahan selepas didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Terdapat Juga PATI yang disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta sama selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pasport yang sah," katanya yang mengetuai 115 pegawai JIM dalam operasi serentak itu.

Menurutnya, semua PATI berkenaan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, seramai hampir 600,000 PATI di negara ini membuat pendaftaran Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Program Rehiring.

"Seramai 150,000 permohonan sudah selesai. Saya mengingatkan kepada majikan dan pekerja asing supaya segera mendaftarkan melalui program ini.

"Jabatan Imigresen bertegas bahawa Program Rehiring tidak akan disambung dan akan ditamatkan menjelang 31 Disember ini," katanya.

Manakala bagi yang mendaftar dalam Program eKad yang berakhir 30 Jun lalu, Mustafar berkata mereka perlu mendaftar program rehiring selewat-lewatnya 15 Februari 2018.

"Kami memberi amaran tegas kepada majikan yang masih menggaji PATI akan berdepan hukuman dengan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.

"Tindakan termasuk membekukan aset dan akaun di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram juga boleh diambil terhadap majikan yang ingkar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 5:55 PM