DATUK Aliff Syukri.
DATUK Aliff Syukri.
DATUK Aliff Syukri.
DATUK Aliff Syukri.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Apa yang menyebabkan dirinya dikenali ramai? Lupakan seketika mengenai produk. Jika bukan iklan di kaca televisyen yang sering menampilkan dirinya sebagai pelakon utama dengan aksi, mimik muka dan suara melucukan, sudah pasti produk D’Herbs tidak berada seperti mana tahap sekarang.

‘Kerja gila’ yang dilakukan pengasas D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman ini sememangnya berhasil apabila teknik menonjolkan diri sendiri dalam setiap iklan sebagai salah satu teknik pemasaran paling berkesan sememangnya terbukti berjaya dan meninggalkan kesan di hati penonton. Malah tidak salah jika dikatakan idea yang ditonjolkan mula menjadi ikutan pengasas produk kecantikan lain.

Ketika berkunjung ke pejabat yang terletak di Kota Damansara, kelihatan perwatakannya yang gila-gila, namun disulami suara tegas tatkala berurusan dengan pekerja. Tiba-tiba dia mencelah: “Nak tengok iklan terbaru saya yang belum ditayangkan lagi?” Tanpa diminta dia terus membuat aksi terbaru untuk iklan yang akan ditayangkan tidak lama lagi itu.

Ditanya bagaimana dia mendapat idea dalam setiap iklan yang dilakonkannya, dia spontan memberitahu, idea itu datang secara tiba-tiba.

“Apabila ada idea saya terus catat di kertas kemudian mencari dialog sesuai dan cuba melontarkan dialog itu seiring dengan lakonan. Memang semuanya lucu dan lain daripada yang lain. Kerana keunikan inilah menyebabkan iklan D’Herbs diingati ramai,” katanya yang menjadi pengarah untuk setiap iklan­nya termasuk dialog yang dilontarkan.

Menurut Aliff, ketika mula-mula menonton iklan yang ditayangkan di kaca televisyen, memang wujud rasa malu. Apatah lagi apabila mendapat kecaman hebat dengan pelbagai kata-kata hinaan daripada penonton.

“Siapa kata tidak sedih dan kecewa. Tapi sebelum iklan ditayangkan, saya sudah bersedia menerima apa saja kritikan kerana percaya apa yang saya lakukan akan melonjakkan nama produk D’Herbs dan inilah yang berlaku,” katanya yang kini semakin lali dengan cacian dan kata-kata nista daripada penonton.

Bermula dari bawah

Dilahirkan pada 3 April 1987 di Felda Kechau Kuala lipis, Pahang, bagi Aliff, apa dilalui suatu masa dulu banyak mengajarnya erti kesabaran. Bermula hanya dengan empat produk utama iaitu bedak asas, produk pelangsingan, minuman kesihatan wanita dan gincu rawatan bibir yang beroperasi di lot kedai tingkat dua, kini hampir 100 produk dihasilkan syarikatnya.

“Mulanya D’Herbs hanya beroperasi di tingkat dua kemudian berpindah di lot kedai bawah, seterusnya menyewa dua lot kedai bagi melancarkan urusan perniagaan dan memudahkan semua rakan niaga berurusan.

“Disebabkan sambutan menggalakkan pengguna dalam setiap produk yang dilancarkan sama ada di Malaysia, Singapura dan Brunei, Wisma D’Herbs secara rasmi dibuka di Kota Damansara. Dengan bangunan baru ini, saya berazam menjadi salah satu jenama kosmetik terkenal di Malaysia, negara jiran sehingga ke seluruh dunia,” katanya yang menggunakan tanda pengenalan ‘Terlajak Laris’ agar lebih mudah diingati pengguna.

Dia yang sudah lama berazam memasuki pasaran Indonesia akhirnya tidak mampu menyembunyikan kegembiraan apabila D’Herbs kini sudah menembusi pasaran negara berkenaan. Malah Aliff juga bakal menetap di Indonesia selama dua tahun bagi memberikan sepenuh perhatian terhadap D’Herbs.

“Memang inilah impian saya, hampir dua tahun merancang dan sekarang impian saya untuk melihat D’Herbs berada di kedai dan toko jamu Indonesia terlaksana. Bukan mudah Indonesia menerima produk Malaysia kerana mereka sendiri cukup teguh dengan produk tempatan. Tetapi melihat kejayaan D’Herbs di Malaysia, ia memberi keyakinan kepada kerajaan Indonesia menerimanya,” katanya.

Menurut Aliff, dengan pasaran 10 kali ganda lebih besar daripada Malaysia, sudah tentu teknik pengiklanan dan pemasaran jauh berbeza. Mungkin apa yang dilakukan di sini tidak boleh diterima masyarakat di sana. Untuk itu, dia perlu menjadi lebih berani terutama dari segi pemasaran dan pengiklanan untuk bersaing dengan jutaan produk di sana.

“Impian saya mahu menjadi sehebat produk Mustika Ratu walaupun saya tahu cabarannya besar, namun saya harus melakukannya kerana percaya apa juga dilakukan akan ada hasilnya. Apa yang penting berani menempuh apa saja rintangan mendatang,” ujarnya bersemangat.

Katanya, walaupun D’Herbs nampak seperti produk jaguh kampung, namum ia menempa nama sebagai produk pilihan orang ramai pada Anugerah Putra Brands.

“Saya bersyukur produk saya satu-satunya produk tempatan yang dipercayai ramai. Ini pencapaian yang tidak disangka-sangka. Penganugerahan ini hasil undian pengguna yang meyakini produk D’herbs. Ini membuktikan produk ini bukan sekadar jaguh kampung, tetapi produk tempatan yang dikenali ramai dan sentiasa memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Bagi Aliff, bukan perkara mudah untuk menerajui D’herbs Holdings (M) Sdn Bhd. Antaranya cabaran paling besar apabila orang lain memandang rendah kewibawaannya untuk meneraju jenama berkenaan.

Namun dia tetap bersungguh-sungguh dengan apa yang dilakukan. Dia juga menetapkan sasaran untuk setiap perancangannya dalam perniagaan.

“Dek semangat yang ditunjukkan ini, pada usia seawal 21 tahun saya berjaya membina perniagaan sendiri walaupun segelintir orang memandang sinis kesungguhan dan kewibawaan saya. Namun saya berjaya meyakinkan semua orang bahawa lelaki juga mampu berjaya dalam industri kosmetik,” katanya bersungguh-sungguh.

Dulu sering digelar bodoh

Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor, dia kemudian melanjut­kan pelajaran di Sekolah Menengah Telok Gadong Klang. Dia juga mengikuti pengajian di Sekolah Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan dan menyambung pelajaran di sekolah Integrasi As-Syakirin, Shah Alam sehingga tingkatan lima sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Taylor.

Pencapaian tertingginya hanya Sijil Pelajaran Malaysia, sebab itu Aliff berusaha bersungguh-sungguh mengubah kehidupannya untuk menjadi usahawan berjaya.

“Ketika zaman kanak-kanak saya seorang yang sangat lambat membaca sehingga mendapat gelaran bodoh dalam kalangan kawan-kawan. Saya sedih tetapi ini juga yang menguatkan azam saya untuk menjadi seperti sekarang,” katanya yang ketika kecil membantu ibu menjual kacang goreng, jeruk dan kuih sagu bagi meringankan beban ayah.

Apabila difikirkan, itulah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan kerana daripada kesusahan ini menjadikan dirinya sentiasa beringat dan tidak pernah lupa diri walaupun kini sudah mengecap kesenangan.

Selain produk kecantikan dan makanan kesihatan, kini D’Herbs beralih ke bidang fesyen apabila mengeluarkan kemeja Abang Terlajak Laris. Ia bermula apabila ramai bertanya dari mana dia mendapatkan koleksi kemeja yang versatil. Lalu timbul hasrat mengeluarkan pakaian lelaki pada harga berpatutan.

Setakat ini, kemeja Abang Terlajak Laris boleh didapati di butik di Kota Damansara dan akan menyusul di Bangi, Terengganu dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 12:12 PM