ALIFF Syukri ketika majlis perasmian bukunya bertajuk Buku Duit Strategi Ajaib di MPH NU Sentral.
ALIFF Syukri ketika majlis perasmian bukunya bertajuk Buku Duit Strategi Ajaib di MPH NU Sentral.
Nabihah Kamal

nabihah.kamal @hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Membeli beg tangan bernilai RM18,000, menikmati makan malam di hotel lima bintang dan menggayakan busana pereka terkenal Leeyanarahman.

Itu antara impian Fadhlin Afifi Ismail, 22, yang tercapai selepas memenangi Peraduan Jutawan Impian anjuran D’Herbs Holding (M) Sdn Berhad (D’Herbs) pada Disember tahun lalu.

Dia dilayan seperti orang kaya dengan ‘dibelanja’ kira-kira RM30,000.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, dia tidak menyangka dengan hanya membeli buku yang ditulis Pengasas D’Herbs Datuk Aliff Shukri Kamarzaman, dia terpilih sebagai pemenang.

“Saya beli buku itu hanya suka-suka untuk tambah pengetahuan pada Ogos tahun lalu. Di belakang buku itu ada borang penyertaan untuk menjadi Jutawan Impian dan saya menyertainya.

“Terkejut apabila mendapat panggilan dan terpilih menjadi pemenang untuk siri pertama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Duit Strategi Ajaib tulisan Aliff Shukri, di sini, semalam.

Sementara itu, Aliff Syukri berkata, dia mengambil masa kurang enam bulan untuk menyiapkan buku keduanya itu.

“Sebelum ini saya ada lancarkan buku biografi. Namun ramai yang meminta saya berkongsi cara berniaga menyebabkan saya menulis buku mengenai perniagaan ini.

“Saya menggunakan 20 buku yang ditulis oleh jutawan dari seluruh dunia bagi menghasilkan buku ini dalam masa kurang enam bulan.

“Kini, sebanyak 25,000 naskhah sudah berada di pasaran dan buku ini boleh didapati di Malaysia Publishing House Book Stores (MPH) di seluruh negara serta boleh dibeli melalui dalam talian di laman web MPH dengan harga RM59.90,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:25 AM