ALIFF bersama produk D’Herbs.
ALIFF bersama produk D’Herbs.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D’Herbs Holdings), syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan jenama D’Herbs komited untuk terus menghasilkan produk baru berkualiti tinggi pada harga munasabah meskipun dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata, langkah terbabit amat penting dalam memastikan pelanggan terus menggunakan produk D’Herbs memandangkan ia memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Pada tahun ini, saya menjangkakan jualan syarikat akan mengalami kemerosotan berdasarkan situasi semasa namun syarikat tidak akan meningkatkan harga produk, malah melakukan kempen jualan besar-besaran untuk menangani masalah ini,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Syarikat Bumiputera yang ditubuhkan pada 2009 dengan modal permulaan kira-kira RM300,000 hingga RM450,000 itu kini memiliki kira-kira 100 jenis produk dalam pelbagai segmen termasuk minuman, makanan, alat solek, penjagaan kesihatan wanita dan lelaki.

Pada masa ini, jenama D’Herbs dipasarkan melalui empat saluran pemasaran iaitu rangkaian kedai runcit milik FELDA iaitu D’Mart, farmasi, kedai jamu, 12 cawangan jualan D’Herbs seluruh negara dan secara atas talian.

Beliau berkata, syarikatnya turut berhasrat meluaskan pasaran ke luar negara terutama di negara Timur Tengah kerana ia menawarkan potensi baik untuk D’Herbs memandangkan pasaran di sana lebih besar.

Menurutnya, pada masa ini produk D’Herbs sudah pun berada di pasaran beberapa negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Thailand secara sah melalui pengedar tunggal.

“Permintaan di Malaysia dan negara jiran adakalanya terlalu banyak sehingga hasrat untuk ke pasaran Timur Tengah tergendala. Oleh itu, saya ingin mencari rakan pelabur yang sesuai untuk membantu saya menerokai pasaran terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, D’Herbs Holdings baru sahaja melabur kira-kira RM25 juta untuk membeli bangunan pejabat baru tiga tingkat yang terletak di Kota Damansara, Selangor.

Aliff berkata, pembelian bangunan itu bertujuan melancarkan lagi operasi perniagaan D’Herbs di samping turut membuktikan syarikat Bumiputera boleh berjaya dalam perniagaan berkaitan kesihatan dan kecantikan.

“Saya amat mengagumi jenama Avon dan berhasrat untuk menjadikan D’Herbs sebagai satu jenama kosmetik terkemuka negara dan menjadikannya sebagai perniagaan warisan ,” katanya.

Selain bangunan pejabat, syarikat ini turut memiliki tiga cawangan spa di Ijok, Senawang dan Sungai Buloh selain memiliki sebuah kilang pengeluaran di Kuala Selangor yang berfungsi untuk menghasilkan produk D’Herbs dan jenama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:38 AM