INFANTINO
INFANTINO
SHEIKH SALMAN
SHEIKH SALMAN
SEXWALE
SEXWALE
CHAMPAGNE
CHAMPAGNE
PUTERA ALI
PUTERA ALI

Buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun, Sepp Blatter tidak akan berada dalam senarai calon apabila pemimpin bola sepak dunia memilih presiden baru FIFA Jumaat ini.

Lima calon bertanding merebut kerusi panas itu dan cuba membuktikan bahawa FIFA yang dicemari skandal mampu pulih dan meraih kembali kepercayaan peminat.

Pemilihan tergempar di Zurich, sembilan bulan selepas Blatter dipilih untuk penggal kelima dikatakan berpunca apabila presiden yang digantung itu meletak jawatan ketika siasatan rasuah terus dijalankan.

Lima calon berkenaan dikatakan jumlah terbesar dalam sejarah FIFA selama 111 tahun, dengan Sheikh Salman dan Gianni Infantino mendahului pencabar mereka.

Sheikh Salman Ebrahim Al-Khalifa

Keluarga diraja Bahrain yang menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia, menyokong Michel Platini untuk jawatan presiden FIFA tahun lalu dan tidak pernah memperkatakan mengenai cita-citanya mengendalikan badan induk bola sepak dunia namun kini beliau adalah calon pilihan.

Penggantungan Platini daripada badan induk sukan itu berikutan isu bayaran dari FIFA pada 2011 mengubah segala-galanya.

Sheikh Salman menyertai pertandingan itu pada hari terakhir pencalonan Oktober lalu, mengambil pendekatan sederhana, lebih memberi tumpuan terhadap mesyuarat persekutuan yang jauh daripada tumpuan media, berbanding menonjolkan diri di depan media seperti Infantino.

Sheikh Salman, 50 berjanji untuk mengambil pendekatan sama sebagai presiden FIFA, mengelak tumpuan keterlaluan yang dicipta Blatter dan memberi kuasa kepada mereka yang pakar.

Tiada sidang media secara formal untuk kempennya, cukup dengan sesi wawancara.

Pencalonan Sheikh Salman bagaimanapun dihantui isu Kebangkitan Arab di Bahrain pada 2011. Pencabarnya Putera Ali Al-Hussain bakal menggunakan kritikan daripada hak asasi manusia untuk memberi kelebihan kepadanya dalam pemilihan berkenaan, mempersoalkan mengapa Salman tidak bersungguh-sungguh mempertahankan pemain Bahrain yang berdepan gangguan selepas protes pro-demokrasi.

Sheikh Salman dengan tegasnya menafikan salah laku dan memberitahu tugasnya dalam bidang sukan tiada kena mengena dengan politik Bahrain.

Biarpun berdepan ancaman kumpulan hak asasi manusia dan pencabarnya, tiada tuduhan baru timbul sepanjang kempen FIFA.

Sokongan majoriti Sheikh Salman datang dari benua Asia dan Afrika, membabit­kan 100 daripada 209 persekutuan.

Gianni Infantino

Seperti juga Sheikh Salman, kempen Infantino hanya bermula selepas penyingkiran Platini. Sebaik presiden UEFA itu digantung, persekutuan Eropah mula mencari calon baru dan mereka beralih kepada orang kanan Platini.

Sebagai Setiausaha Agung UEFA, Infantino, 45 paling dikenali calon berikutan tugasnya mengendalikan undian untuk kejohanan peringkat Eropah.

Justeru, misi mendapatkan undi majoriti 53 negara Eropah tidak menjadi masalah.

Berbekal dana UEFA sebanyak 500,000 euro (RM2.32 juta), Infantino mengelilingi dunia untuk mendapatkan sokongan. Pasukan Infantino mensasarkan sekurang-kurangnya 69 undi setakat ini termasuk blok 10 negara Amerika Selatan CONMEBOL dan 11 negara CONCACAF.

Beliau bagaimanapun mendapat kurang sokongan dari negara-negara Asia dan Afrika.

Dilahirkan berhampiran kampung halaman Blatter di Switzerland, Infantino memanfaatkan pengalamannya dalam selok-belok FIFA, berjanji untuk meningkatkan bantuan kewangan kepada negara ahli.

Beliau juga berharap dapat mengembangkan penyertaan Piala Dunia daripada 32 kepada 40 pasukan dengan membenarkan zon berkongsi penganjuran Piala Dunia sekali gus memberikan peluang kepada lebih banyak negara untuk me­nganjurkan kejohanan bola sepak.

Putera Ali Al-Hussain

Presiden persekutuan bola sepak Jordan menafikan kemenangan Blatter pada pusingan pertama dalam saingan satu lawan satu Mei lalu sebelum memberi laluan kepada penyandang jawatan berkenaan.

Namun 73 undian Putera Ali kebanyakannya dikumpul daripada persekutuan Eropah yang kini menyokong Infantino.

Putera Ali, 40 kini turut aktif berkempen, bergantung kepada penampilan media yang kerap untuk memastikan beliau kekal relevan biarpun gagal mendapatkan sokongan.

Cubaan supaya pencabarnya dikenakan tindakan FIFA turut gagal.

Putera Ali mengadu kepada FIFA mengenai perjanjian kerjasama di antara persekutuan Afrika yang diketuai pemangku Presiden FIFA Issa Hayatou dan Sheikh Salman dari Asia. Hayatou segera melepaskan sebahagian daripada jawatannya dalam CAF.

FIFA kemudiannya menolak aduan Putera Ali beberapa bulan selepas kempen bermula mengenai ketua pemantau pilihanraya yang berkongsi kerakyatan Switzerland-Itali seperti Infantino.

Putera Ali menghabiskan empat tahun dalam FIFA sebagai naib presiden sehingga Mei tetapi beliau paling lantang di antara lima calon memperkatakan mengenai budaya badan induk itu, jenayah dan imej badan induk berkenaan yang tercemar.

Jerome Champagne

Champagne menghabiskan dekad pertamanya di FIFA, bekerja sebagai timbalan setiausaha agung dan pengarah hubungan antarabangsa sebelum disingkirkan pada 2010.

Biarpun semakin lantang dari luar sejak itu, memperjuangkan keperluan untuk mendapatkan keseimbangan kuasa dalam bola sepak dunia selain memperjuangkan persekutuan kecil dan baru, Champange tetap dilihat sebagai penyokong setia Blatter.

Bekas diplomat Perancis itu gagal mendapatkan lima pencalonan diperlukan untuk bertanding tahun lalu namun berjaya melepasinya kali ini.

Lima negara itu tidak didedahkan dan beliau tidak dilihat mengumpul sebarang undian untuk kempen kali ini.

Kempen Champange yang dibiayai diri sendiri mempunyai sentuhan peribadi tidak seperti calon lain seperti di Twitter namun Infantino nampaknya sudah mengatasinya dalam perkara itu.

Calon berusia 57 tahun itu mengkritik sokongan kewangan dalam kempen Infantino.

Tokyo Sexwale

Calon Afrika Selatan berusia 62 tahun itu mempunyai suara lantang dalam kempen ini. Bekas banduan Pulau Robben dan aktivis anti-apatheid, reputasi Sexwale meningkat apabila cuba menggunakan kuasa FIFA untuk menyelesaikan isu membabitkan pemimpin bola sepak Israel dan Palestin.

Namun kempen pemilihannya kali ini tidak seperti yang diharapkan. Presiden persekutuan bola sepak Ghana Kwesi Nyantakyi mempersendakan kempen Sexwale di CAF kerana memberi tumpuan terhadap hubungannya dengan Nelson Mandela dan zaman beliau dipenjarakan di Pulau Robben daripada merancang sesuatu untuk bola sepak.

Pencalonan Sexwale turut didominasi spekulasi bila beliau akan menarik diri dan nampaknya ia tidak akan berlaku.

Undian

Kuwait dan Indonesia tidak mendapat hak mengundi dalam pemilihan FIFA berikutan campurtangan negara dalam persekutuan bola sepak negara masing-masing.

Perkembangan itu menyebabkan hanya 207 undi diterima dalam pemilihan kali ini.

Majoriti dua pertiga daripada 138 undian diperlukan untuk menang undian pusingan utama. Jika sasaran itu tidak dipenuhi, majoriti mudah 50 peratus iaitu 104 undian sudah memadai daripada pusingan kedua.

Calon dengan undian terendah akan tersingkir daripada undian berikutnya.

Sejak FIFA ditubuhkan pada 1904, tiada pemilihan dilakukan sehinggalah Stanley Rous dipilih pada 1961. Beliau diketepikan Joao Havelange pada pemilihan 1974.

Havelange memimpin FIFA tanpa dicabar selama 24 tahun. Tokoh Brazil itu memenangi pemilihan buat kali terakhir pada 1994 sebelum tempatnya digantikan Blatter empat tahun kemudian.

Bekas presiden berusia 79 tahun dari Switzerland itu menang dua daripada lima pemilihan tanpa bertanding. -AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:39 AM