PUTERA  ALI  BIN AL HUSSEIN
PUTERA ALI BIN AL HUSSEIN
GIANNI  INFANTINO
GIANNI INFANTINO
MICHEL  PLATINI
MICHEL PLATINI

Lapan calon tersenarai untuk dipilih sebagai Presiden FIFA sebaik tarikh akhir pencalonan tamat kelmarin. Siapa di antara mereka bakal menggantikan Sepp Blatter ketika sesi pemilihan FIFA yang bakal berlangsung 26 Februari 2016?

MICHEL PLATINI

Antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman dan ahli politik sukan terkemuka sehinggalah beliau terbabit dalam penyiasatan jenayah Switzerland terhadap FIFA.

Selepas menjadi pengerusi bersama penganjuran Piala Dunia Perancis

1998, beliau menjadi presiden UEFA pada 2007 dan dilantik dua kali selepas itu.

Namun penggantungan Platini selama 90 hari sementara FIFA menyiasat bayaran 1.8 juta euro (RM8.47 juta) daripada badan induk dunia itu tanpa sebarang kontrak bertulis benar-benar menjejaskan peluang beliau yang pernah menjadi calon

terhangat.

Platini, 60 mencipta nama sebagai pentadbir sukan dengan memberi penekanan terhadap kekayaan bola sepak dan pembuat keputusan

diberi sama rata di kalangan ahli.

GIANNI INFANTINO

Peguam Switzerland berusia 45 tahun itu menyertai FIFA pada 2000 dan menjadi setiausaha agung pada 2009.

Infantino yang boleh bertutur pelbagai bahasa, pada mulanya terbabit dengan urusan perundangan, komersial dan profesional bola sepak.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah hal undang-undang dan bahagian perlesenan pada 2004. Tugas beliau termasuk memastikan hubungan kukuh dengan Kesatuan Eropah, Majlis Eropah dan pihak berkuasa kerajaan.

Sebelum menyertai FIFA, beliau meraih pelbagai pengalaman dalam sukan. Beliau pernah menjadi penasihat pelbagai badan induk bola sepak di Itali, Sepanyol dan Switzerland sebelum bertugas sebagai setiausaha agung Pusat Kajian Sukan Antarabangsa di Universiti Neuchatel.

JEROME CHAMPAGNE

Champagne, 57, adalah diplomat Perancis di Oman, Los Angeles dan Brazil sebelum menjadi penasihat protokol penganjur Piala Dunia 1998.

Beliau menyertai FIFA pada 1999 sebelum menjadi timbalan setiausaha agung di bawah Sepp Blatter kemudian meninggalkan badan induk itu pada 2010.

“Saya tidak malu dengan pembabitan dalam FIFA,” katanya.

Biarpun bukan seorang pemain bola sepak, Champagne adalah wartawan sambilan untuk majalah France Football. Champagne pernah mencabar Blatter untuk jawatan itu tahun ini tetapi tidak mendapat tandatangan lima persatuan kebangsaan untuk menyertainya.

Beliau berjanji mahu membawa lebih ketelusan, standard etika yang kuat serta memodenkan pentadbiran badan induk itu.

SHAIKH SALMAN BIN BRAHIM AL KHALIFA

Kerabat diraja Bahrain bersuara lembut itu mengambil alih konfederasi bola sepak Asia pada 2013 yang ketika itu terumbang-ambing apabila Mohamed bin Hamman dipecat, namun kini mempunyai pengaruh yang kuat terhadap badan induk berkenaan.

Beliau mendapat sokongan kuat daripada broker kuasa Sheikh Ahmad al Fahad al Sabah, antara tokoh berpengaruh dalam dunia sukan dan juga terbabit dengan FIFA dan Olimpik.

Tahun ini Shaikh Salman dilantik semula tanpa bertanding untuk tempoh empat tahun lagi dan menjadi naib presiden FIFA. Namun beliau turut dihantui dakwaan terbabit dalam tindakan keras kerajaan Bahrain terhadap aktivis pro-demokrasi pada 2011 namun menafikannya.

DAVID NAKHID

Beliau calon misteri dalam perebutan jawatan FIFA. Nakhid, 51, adalah kapten Trinidad and Tobagao dan pernah bermain untuk kelab

Grasshoppers di Switzerland, Waregem di Belgium serta New England Revolution di Amerika Syarikat.

Tugas pentadbiran yang pernah dijalankannya adalah metadbir rangkaian akademi bola sepak yang dimilikinya.

Nakhid berkata sudah tiba masanya kuasa bola sepak keluar dari Eropah dan ia perlukan seorang bekas pemain untuk membentuk kembali badan induk itu.

“Saya tidak boleh terburu-buru. Saya komited terhadap transformasi yang adil dan saksama serta menangani sebarang pelanggaran dan ketidak wajaran,” katanya.

PUTERA ALI BIN AL HUSSEIN

Adik lelaki Raja Abdullah Jordan, berusia 39 tahun adalah anggota unit tugas khas negaranya, mempunyai kepakaran dalam bidang terjun payung. Putera berkenaan menyertai eksekutif FIFA sejak 2011 hingga tahun ini apabila mencabar Sepp Blatter untuk merebut jawatan presiden buat kali pertama.

Putera Ali berjaya dalam perjuangan memastikan wanita berhijab dapat bermain bola sepak.

Beliau berulang kali menuntut ketelusan dalam FIFA dan berjanji mahu memastikan jumlah keuntungan yang lebih tinggi dikembalikan kepada persatuan kebangsaan.

Beliau juga mengutuk ‘perjanjian menerusi jalan belakang’ yang disifatkan sebagai antara punca terbesar masalah berlanjutan yang dihadapi FIFA.

Putera berkenaan juga antara penyokong utama yang mengeluarkan laporan Garcia terhadap undian 2010 yang membolehkan penganjuran Piala Dunia diadakan di Russia 2018 dan Qatar 2022.

TOKYO SEXWALE

Jurukempen anti apartheid Afrika Selatan yang dicalonkan Sabtu lalu, mahu mencatat sejarah sebagai rakyat Afrika pertama memimpin badan induk bola sepak itu sepanjang 111 tahun penubuhannya.

Sexwale, 62, bekas ahli politik dan lelaki paling kaya di negara itu pernah dipenjarakan bersama Nelson Mandela. Beliau menjalani hukuman penjara 13 tahun (daripada hukuman asal 18 tahun) di Pulau Robben kerana didakwa terbabit dalam keganasan.

Selain terbabit dalam pasukan bidaan Piala Dunia Afrika Selatan 2010, beliau juga menganggotai jawatankuasa anti perkauman dan anti diskriminasi FIFA, menyamakan perkauman seperti ‘raksasa yang cuba menyeludup masuk ke arena sukan’.

Beliau juga ahli jawatankuasa media FIFA.

MUSA BILITY

Pencalonan Presiden Persatuan Bola Sepak Liberia, Bility adalah sesuatu yang mengejutkan. Beliau adalah antara rakyat Afrika yang dicalonkan sebagai presiden selepas pemangku pemimpin FIFA Issa Hayatou pada 2002, sebelum Sexwale pada kali ini.

“Jika kita mahu mengubah bola sepak, maka kita harus pastikan bahawa ia tiada kena mengena dengan mereka yang mengendalikan FIFA selama 20 hingga 25 tahun lalu,” kata Bility, 48, selepas mengumumkan pencalonannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:37 AM