BAKARY (kiri) dikawal pemain Sabah, Rawilson Batuil dalam saingan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur.
BAKARY (kiri) dikawal pemain Sabah, Rawilson Batuil dalam saingan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Kuantan FA membelasah Sabah 4-1 untuk memastikan tiga mata diraih pada aksi kedua saingan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Namun, skuad kendalian Zulhamizan Zakaria terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga mata apabila ketinggalan hasil jaringan Maxsius Musa pada minit ke-27 sebelum bangkit dengan empat gol.

Pada minit ke-21, tuan rumah hampir meletakkan skuad itu di depan tetapi lontaran Ljuba Baranin terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Fadzley Abd Rahim.

Selang enam minit, Marco Tulio turut berpeluang menjaringkan gol tetapi sepakannya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Zairi Hafiezi Idris.

Namun, di sebalik usaha Kuantan FA untuk menembusi gawang lawan, pemain import Sabah, Musa meledak jaringan untuk mendahului tuan rumah pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, Kuantan FA yang ketinggalan berusaha mencari gol penyamaan tetapi kekentalan jentera pertahanan lawan menyebabkan misi itu gagal.

Peluang terbaik Kuantan FA menerusi pemain gantian, Malek Mat Arif yang melakukan rembatan dalam kotak penalti tetapi sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol lawan pada minit ke-60.

Akhirnya, gol penyamaan dinantikan Kuantan FA yang dikenali The Seagull berhasil menerusi jaringan Dao Bakary pada minit ke-65.

Pada minit ke-82, Malek memastikan pasukan itu mendahului 2-1 apabila membolosi gawang ketika lawan berusaha menambah jaringan sebelum Wafiy Abdul Ghafaar menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87.

Bakary menambah derita Sabah apabila menjaringkan gol keempat buat Kuantan FA untuk memastikan tiga mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:26 AM