Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima dengan tangan terbuka bantuan bakal diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melunaskan wang hadiah pemenang Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Presiden Datuk Abu Samah Wahab berkata, memang mereka mengharapkan bantuan KBS kerana hadiah kemenangan bernilai RM936,000 itu digunakan untuk tujuan pembangunan serta beberapa lagi perbelanjaan lain yang mempunyai kepentingan membabitkan jurulatih dan pelumba.

“Kami sudah maklumkan perkara ini lebih awal kepada Pesuruhjaya Sukan, jadi perkara berkenaan dalam pengetahuan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, wang berkenaan bukan disalahgunakan tetapi digunakan terlebih dulu untuk membayar elaun pelumba kebangsaan dan juga gaji jurulatih.

“Kami juga banyak menggunakan wang untuk pengurusan dan pembangunan termasuk ketika menyertai serta mempersiapkan pelumba untuk Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon.

“Wang itu bukan digunakan untuk urusan lain. Sekurang-kurangnya perjalanan persatuan tahun ini tidak terjejas dari Januari hingga November,” katanya.

Kelmarin Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi kenyataan mereka akan membantu PKBM menyelesaikan masalah tunggakan wang hadiah pemenang LTdL 2014.

Kegagalan PKBM itu mencetus persoalan kerana difahamkan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memasukkan RM1.6 juta ke dalam akaun PKBM sebelum bermulanya LTdL edisi ke-19 yang berlangsung dari 26 Februari hingga 7 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:50 AM