London: Jamie Vardy (gambar) yakin Leicester City tetap tenang berdepan tekanan selaku pencabar utama Liga Perdana musim ini dan satu lagi ujian penting bagi pasukannya ialah pertemuan menentang Arsenal, esok.

Buat kali pertama musim ini, skuad kendalian Claudio Ranieri itu dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi liga musim ini dan ia menjadi semakin cerah selepas menang 3-1 ke atas salah satu pencabar, Manchester City minggu lalu.

Foxes memiliki kelebihan lima mata berbanding pasukan di tangga kedua Tottenham Hotspur dan ketiga, Arsenal dengan berbaki 13 perlawanan musim ini sekali gus berpeluang untuk menjulang gelaran utama buat kali pertama sepanjang sejarah penubuhan kelab.

Namun senario serupa pernah dilalui Liverpool pada musim 2013-14 yang akhirnya menyaksikan Reds berputih mata. Justeru, banyak pemerhati berasakan Leicester yang bergelut untuk mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan musim lalu, mungkin berdepan masalah sama pada hujung musim.

Begitupun, penyerang England Vardy yang sudah meledak 18 gol dan menjadi nadi kejayaan Leicester setakat ini, tegas mengatakan mereka tidak gentar menjelang pertemuan menentang Gunners minggu ini.

“Kami tetap serupa dan masih menikmati apa yang kami usahakan. Kami seronok dengan apa yang berlaku,” kata Vardy. “Jika anda terlalu memikirkannya, ia pasti memberi kesan negatif. Ia semudah itu.

“Kami akan terus melakukan apa yang kami sudah buat setakat ini.

“Arsenal di kelompok teratas, kami juga begitu, (Manchester) City juga sama. Kami akan mengharungi perlawanan satu demi satu, berusaha dengan gigih dan saya harap kami akan terus mengumpul mata.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:32 AM