PEMAIN Leicester City Danny Drinkwater (tengah) dihalang dua pemain Hull City ketika tewas 1-2.
PEMAIN Leicester City Danny Drinkwater (tengah) dihalang dua pemain Hull City ketika tewas 1-2.
AFP

Leicester, United Kingdom: Selepas berdepan kekalahan pada perlawanan pembukaan musim, juara bertahan Leicester City dan Arsenal yang juga naib juara, akan bertemu di Stadium King Power tengah malam ini dengan kedua-dua kelab pasti terdesak untuk kembali meletakkan haluan pasukan di kedudukan tepat.

Tiga bulan selepas menjulang Liga Perdana Inggeris, Leicester dikejutkan 1-2 oleh kelab bermasalah, Hull City manakala Arsenal yang berdepan krisis kecederaan, ditewaskan 3-4 oleh Liverpool.

Ketika Manchester United, Manchester City dan Chelsea menang ke atas lawan masing-masing, Leicester dan Arsenal tidak lagi boleh menunggu sebaliknya perlu mula mengumpul mata.

Bagaimanapun, pengurus Leicester Claudio Ranieri enggan panik.

“Kekuatan kami tetap sama. Kami mempunyai semangat tinggi dan kami berlatih dengan baik sepanjang sesi latihan,” kata pengendali Itali itu.

“Kami tidak akan mengubah mentaliti kami. Kami kuat dan percayakan diri sendiri. Kami juga sedar bahawa kami perlu bekerja keras.

“Kami perlu melakukan semuanya dengan betul dan selepas itu, kami perlu menerima apa saja yang sudah ditakdirkan.”

Keputusan yang diterima Leicester pada perlawanan pembukaan sepatutnya membuatkan pasukan itu bimbang kerana pertemuan dengan Hull wajar memberikan pulangan seperti yang diharapkan.

Lawan mereka turun tanpa pengurus tetap dan hanya mempunyai 13 pemain senior yang cergas sepenuhnya.

Riyad Mahrez menyamakan kedudukan buat Leicester menerusi penalti tetapi Jamie Vardy gagal menepati telahan selaku penggempur berbisa dan dia turut menendang angin pada babak pertama.

Bagaimanapun, keputusan itu mendorong beberapa khabar menggembirakan apabila Mahrez setuju untuk mengikut jejak Vardy, kapten Wes Morgan dan penjaga gol Kasper Schmeichel dengan menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun.

Vardy yang muncul penjaring terbanyak Leicester musim lalu, menolak untuk berpindah ke Arsenal dan kelab utara London itu dikatakan turut berminat mendapatkan Mahrez.

Pengurus Arsenal Arsene Wenger berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain menghormati keputusan Vardy sambil menyifatkan Mahrez sebagai pemain yang luar biasa.

Arsenal menang dua kali ke atas Leicester musim lalu - mengatasi lawan 5-2 di King Power dan menang 2-1 di Emirates.

Anak buah Wenger muncul satu-satunya pasukan yang menang di King Power musim lalu tetapi pengendali Perancis sedar kekuatan serangan balas Leicester menjadikan mereka sebagai lawan yang sangat berbahaya serta unik.

“Cabaran musim ini pasti tidak banyak berbeza,” kata Wenger yang tetap bangga dengan rekod pertemuan menentang Leicester di mana mereka tidak pernah tewas sejak November 1994.

“Mereka mempunyai kualiti sama seperti tahun lalu dan mereka adalah pasukan yang pantas menyerang selain bertahan sebagai satu unit.

“Cabaran yang perlu mereka atasi ialah membuktikan kemampuan untuk menyerlah seperti tahun lalu selain membuka mata lawan yang mengatakan bahawa kejayaan yang mereka kecapi sebelum ini hanya datang sekali.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:11 AM