GRAY (dua dari kanan) dijatuhkan Mkhitaryan (kanan). -Foto Reuters
GRAY (dua dari kanan) dijatuhkan Mkhitaryan (kanan). -Foto Reuters

LONDON: Arsenal didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas bantahan keras mereka terhadap penalti yang diberikan kepada Leicester ketika tewas 1-3, awal pagi kelmarin.

Pemain Gunners naik berang selepas pengadil Graham Scott menghadiahkan Leicester tendangan penalti pada minit ke-75 kerana kekasaran dilakukan Henrikh Mkhitaryan ke atas Demarai Gray di Stadium King Power.

Jamie Vardy menyempurnakan sepakan penalti itu untuk membantu Leicester mendahului 2-1 sekali gus dalam laluan mencatat kemenangan ke atas Arsenal pada perlawanan kedua terakhir musim Liga Perdana Inggeris.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengkritik keputusan Scott apabila berkata: “Ia satu aspek kreatif dan khayalan daripada pengadil. Kami menyaksikannya sekali lagi, ia satu layangan badan yang cantik tapi ia bukannya penalti.”

Satu kenyataan FA semalam menyebut: “Arsenal didakwa kerana gagal memastikan pemain mereka berkelakuan baik.

“Insiden itu berlaku pada minit ke-75 perlawanan Rabu lalu menentang Leicester City. Arsenal diberi masa hingga jam 6 petang Rabu ini, 16 Mei untuk menjawab pertuduhan ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 10:58 AM