Oleh Mohd Sabran Md Sani


Mencipta produk inovasi daripada bahan terpakai memerlukan daya kreativiti yang tinggi.

Semuanya bergantung kepada keupayaan individu untuk mencipta produk baru dan bermanfaat.

Tidak semestinya bahan yang mahal menghasilkan produk berkualiti.

Itulah yang dibuktikan sekumpulan pelajar Kolej Vokasional Batu Pahat, Johor.

Mereka mempertaruhkan Alat Bantuan Menuai Limau Kasturi sempena pertandingan inovasi Malaysian Agricultural Innovation Challenge (MAgIC) 2014, di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Pertandingan itu anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Alat inovasi berkenaan melayakkan mereka memenangi pingat perak bagi kategori kolej dan politeknik.

Produk inovasi itu menggunakan kos paling murah serendah RM19.90.

Ia dibangunkan tiga pelajar kolej berkenaan iaitu Mohd Noorfitri Katwadi, Muhammad Haiqal Hakim Mohd Hazman dan Mohamad Zahrul Ikhwal Nor Isham.

Projek berkenaan dibimbing tiga guru pe­nyelia iaitu Suhaimi Tamat, Haniah Tukiman dan Jayati Yono.

Penciptaan alat berkenaan bagi mencapai beberapa objektif seperti memudahkan kerja memetik, mengurangkan pergerakan pekerja, memudahkan pengumpulan buah dan menjimatkan masa.

Mohd Noorfitri yang juga ketua projek berkata, projek inovasi ditampilkan kumpulannya adalah alat menuai limau kasturi.

"Kaedah memetik limau secara manual amat memenatkan.

"Petani biasanya memetik limau kasturi dan dimasukkan ke dalam baldi," katanya.

Pemetik juga katanya turut berdepan masalah kesihatan.

"Untuk memindahkan limau kasturi, mereka perlu membongkokkan badan dan menggunakan pergerakan yang banyak.

"Namun, teknik memetik menjadi lebih mudah menggunakan alat inovasi dikenali Alat Bantuan Menuai Limau Kasturi," katanya.

Alat dibangunkan mereka terdiri daripada tali pinggang, pemegang beg plastik, salur buah dan gunting.

Barangan terbuang membabitkan bekas plastik susu, kain perca, penampan silau dan spring mainan budak kecil.

"Penuaian dengan kaedah tradisional adalah sukar dan memakan masa, sebaliknya lebih mudah dengan alat baru.

"Beg tuaian diikat pada pinggang dan buah yang digunting disalur terus ke dalam beg plastik melalui beg tuaian," katanya.

Beg plastik yang sudah penuh diganti dengan beg lain dan boleh terus diguna sebagai pembungkusan untuk diedar ke pasaran.

Kedudukan mulut corong dan mementum gelongsoran buah dianalisis bagi memastikan ia masuk ke dalam salur tanpa merosakkan buah.

Menurutnya, dengan adanya alat inovasi berkenaan kerja menuai bertambah mudah dan dapat dilakukan dengan lebih pantas serta mengurangkan kos penuaian pada skala besar.

"Kelebihannya adalah tidak perlu membongkok untuk meletakkan buah ke dalam bakul.

"Ia amat sesuai digunakan untuk pokok tinggi, buah limau dipetik tidak terdedah kepada cahaya matahari dan menjimat­kan masa pengurusan buah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM