ALAT mudah untuk pengguna domestik memarut dan mengupas buah.
ALAT mudah untuk pengguna domestik memarut dan mengupas buah.
HASIL parutan buah.
HASIL parutan buah.
DR Siti Mazlina bersama pingat dimenangi.
DR Siti Mazlina bersama pingat dimenangi.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Proses penghasilan jus secara manual mungkin agak rumit.

Buah yang dipilih perlu dikupas dulu sebelum melalui proses selanjutnya.

Di pasaran hanya terdapat alat pengupas buah saja, namun tidak mempunyai produk pelbagai fungsi.

Menyedari kepentingan itu, penyelidik Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan alat pemarut dan pengupas buah.

Produk inovasi itu dibangunkan pensyarah jabatan itu, Prof Madya Dr Siti Mazlina Mustapa Kamal.

Inisiatif Dr Siti Mazlina membolehkan penciptaan alat yang menggabungkan tiga fungsi iaitu pemarut, pengupas dan pemotong buah.

Projek itu meraih pingat emas dan The Very Best Award sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE 2009).

Ia juga memenangi pingat perak sempena Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI 2008) dan pingat emas sempena Pameran Brussels Innova di Brussels, Belgium 2009.

Siti Mazlina berkata, alat dibangunkan itu untuk memarut dan mengupas sayuran dan buah-buahan seperti epal, oren, lobak, timun dan buah naga.

Menurutnya, kajian mengenai jus buah-buahan pada 2008 mencetuskan idea untuk menghasilkan alat itu.

“Ketika itu kami menghadapi kesukaran menghasilkan jus buah naga kerana prosesnya rumit dan mengambil masa mengupas kulitnya.

“Kami mempertingkatkan penciptaan alat itu hingga ke tahap prototaip.

“Ia juga sesuai untuk pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran,” katanya.

Alat dibangunkan itu boleh mengupas buah pada kadar yang tinggi dan meningkatkan kecekapan pemprosesan produk buah-buahan.

“Bahan yang diparut oleh peralatan ini pula boleh digunakan sebagai penghias kek dan kuih seperti hasil parutan lobak.

“Fungsinya sebagai pemotong mengikut kehendak pengguna,” katanya.

Pemarut dan pengupas buah ini sesuai untuk kegunaan domestik kerana ia bersaiz kecil dan ringan, mudah untuk dibawa ke mana saja.

“Ia juga mudah disimpan dan diubah suai bagi penggunaan di industri pemprosesan jus buah-buahan.”

“Ia boleh mempercepatkan proses pengupasan buah sebelum jus dikeluarkan,” katanya.

Penggunaan peralatan ini dalam industri pengeluaran jus boleh menjimatkan kos pengeluaran.

“Ini mengurangkan penggunaan tenaga buruh yang melakukan kerja mengupas buah secara manual,” katanya.

Prosedur penggunaan juga mudah dengan buah yang dipilih diletak pada alat pengapit.

Tempat meletak buah akan berputar 360 darjah secara automatik.

“Masa untuk kupasan buah-buahan adalah lapan kali ganda lebih cepat berbanding penggunaan secara manual dengan purata masa 6.5 saat bagi saiz buah sederhana,” katanya.

Alat itu, katanya, sudah difailkan paten, selain boleh dijual pada harga yang kompetitif di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 10:35 AM