Oleh Mohd Sabran Md Sani


Inovasi ditampilkan agak ringkas namun impaknya cukup besar kepada industri kelapa negara.

Jika dulu khidmat beruk diperlukan untuk memanjat pokok kelapa, kini ia dapat dilakukan manusia.

Dikenali alat pemanjat pokok, produk inovasi itu ciptaan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.

Menariknya, ia mengambil masa 30 saat untuk ketinggian enam meter.

Malah, anda mampu duduk dalam tempoh lama sebelum meneruskan aktiviti memetik kelapa.

Alat itu pertama kali dipertontonkan kepada orang ramai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), baru-baru ini.

Pengurus Hal Ehwal Korporat PPK Kuala La-ngat, Zulkamal Zaiki berkata, inovasi dari Jepun itu ditayangkan menerusi laman web YouTube.

Menurutnya, kekurangan tenaga pengajar beruk yang terlatih menyumbang kepada usaha memodifikasi alat berkenaan.

"Dengan alat ini, orang yang sudah lama menceburi bidang berkenaan (memanjat pokok kelapa) boleh menjana pendapatan berganda," katanya.

Seramai empat pegawai terbabit dalam inovasi itu untuk tempoh sebulan dan siap sepenuhnya pada Ogos lalu.

"Biasanya, tiga pokok dapat dipanjat setiap hari, tapi alat ini membantu memanjat 20 pokok sehari," katanya.

Alat itu membabit-kan dua bahagian utama iaitu bahagian A (tempat duduk) dan bahagian B (pedal).

Pertamanya, wayar dipasang mengikut saiz pokok untuk kedua-dua bahagian tempat duduk dan pedal.

Gelang getah kemudian disangkutkan pada bahagian pin.

Bahagian depan kaki di bawah penahan disangkutkan dan naik di atas pedal.

Seterusnya, pemanjat perlu berdiri di atas pedal dan naikkan tempat duduk, selain menyesuaikan panjang tali yang menyambungkan kedua-dua bahagian mengikut kaki ketika berdiri.

Sangkutkan tali keselamatan yang terikat di tempat duduk dan gelungkan 'lifeline' dipinggang dan diikat.

Gelungkan hujung tali 'lifeline' keliling pokok di atas wayar tempat duduk dengan menyangkutkan hujung besi 'lifeline' pada bahagian tali.

Mereka yang berminat mendapatkan alat berkenaan boleh berhubung terus PPK Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM