IDRIS dan Dr Aini (tiga dari kanan) bersama penduduk menunjukkan mesin E-Cutter.
IDRIS dan Dr Aini (tiga dari kanan) bersama penduduk menunjukkan mesin E-Cutter.
PENDUDUK bersama sumbangan mesin E-Cutter.
PENDUDUK bersama sumbangan mesin E-Cutter.
IDRIS (dua dari kanan) mencuba mesin E-Cutter.
IDRIS (dua dari kanan) mencuba mesin E-Cutter.
Mohamad Hussin

Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerahkan 10 unit mesin E-Cutter kepada peneroka FELDA bagi memudahkan mereka melakukan proses menuai buah dan mencantas pelepah kelapa sawit.

E-Cutter adalah inovasi mesin pencantas elektrik terkini yang menggabungkan konsep pacuan kuasa elektrik dan mekanikal bagi menggerakkan pahat atau sabit pada galah komposit.

Ciri-cirinya yang kurang getaran dan mampu mencapai aras tuaian hingga 10 meter antara faktor penting bagi menerokai dimensi baru penuaian berteknologi pada masa akan datang.

Oleh itu, UPM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menganjurkan Program Penyelidikan Translasional (PPP) E-Cutter bersama FELDA Zon Hulu Selangor.

Langkah itu sebagai usaha merealisasikan hasrat KPT bagi memperkasakan PPP sekali gus menambah nilai kepada kehidupan seharian peneroka terbabit.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, KPT mengumumkan tahun ini sebagai tahun PPP apabila KPT akan menyediakan Pelan Tindakan Keutamaan Penyelidikan 2017.

Beliau berkata, pelan berkenaan memberi tumpuan kepada penterjemahan penyelidikan supaya lebih fokus, lebih berharga dan relevan.

“Selain itu, ia turut mempromosi bakat dalam kalangan penyelidik yang terbabit dalam bidang Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) serta revolusi industri keempat.

“Pelan ini turut memfokuskan kepada usaha memposisikan penyelidikan untuk keunggulan global selaras dengan Lonjakan Lapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada PPP (E-Cutter), UPM bersama FELDA Zon Hulu Selangor di FELDA Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk P Kamalanathan, Naib Canselor UPM Prof Dr Aini Ideris dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA Anuar Malek.

Idris berkata, secara keseluruhan, FELDA akan menerima 1,000 unit mesin itu secara berperingkat untuk diguna pakai peneroka ketika proses menuai buah dan mencantas pelepah kelapa sawit.

Sementara itu, Dr Aini berkata, inovasi ini adalah hasil penyelidikan bersama Prof Dr Norhisam Misron dari Fakulti Kejuruteraan UPM dan pegawai penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Abdul Razak Jelani.

“Projek penyelidikan ini mengambil masa selama lima tahun untuk penghasilan inovasi berkenaan sekali gus memudahkan peneroka FELDA melakukan kerja ladang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 2:43 PM