Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Sama ada kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan dikosongkan atau tidak dijangka ketahui hujung bulan ini apabila hasrat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletakkan jawatan bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Exco FAM Ke-7 bagi sesi 2014/2018.

Perkara ini disahkan Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah yang menegaskan masih belum ada ketetapan dibuat Exco FAM meskipun Tengku Abdullah sudah menyerahkan surat peletakan jawatan November lalu.

“FAM akan mengadakan Mesyuarat Exco pada hujung bulan ini. Jadi perkara ini bakal dibawa dalam mesyuarat itu untuk dibincangkan. Setakat ini kedudukan masih sama seperti yang diumumkan selepas Mesyuarat Exco November lalu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Biarpun Exco FAM seakan melengahkan-lengahkan masa membuat keputusan mengenai surat peletakan jawatan Tengku Abdullah itu, tempoh pemerintahan Tengku Mahkota Pahang itu dengan FAM sejak 2014 itu bakal berakhir dalam tempoh terdekat ini.

Ini susulan kenyataan beliau dalam ucapan pada Majlis Pengenalan Penaja Skuad Kebangsaan 2016 Selasa lalu bahawa FAM mungkin mendapat presiden baru.

Malah Arena Metro baru-baru ini menerusi sumber rapat FAM mendedahkan keinginan Tengku Abdullah melepaskan jawatan bukan saja didorong rasa kecewa dengan prestasi skuad kebangsaan malah disebabkan peluang untuk menduduki kerusi nombor satu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Menurut sumber itu, Tengku Abdullah calon pilihan untuk menjadi Presiden AFC jika penyandangnya Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa memenangi jawatan Presiden FIFA pada pemilihan badan induk dunia itu pada 26 Februari ini.

Tengku Abdullah pada September lalu pernah menyatakan tugasnya di FAM bakal diambil Afandi selaku pemangku jika beliau meletakkan jawatan.

“Saya belum lagi (jadi pemangku). Biarlah perkara ini dibincangkan dulu dalam Mesyuarat Exco nanti,” kata Afandi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:09 AM