PELUANG Tengku Abdullah (kanan) mencipta nama di peringkat antarabangsa kini terbuka.
PELUANG Tengku Abdullah (kanan) mencipta nama di peringkat antarabangsa kini terbuka.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pembabitan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kancah bola sepak tidak akan terhenti jika benar beliau mahu melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh terdekat ini.

Ini kerana Tengku Abdullah dijangka mengorak langkah di peringkat antarabangsa apabila difahamkan beliau kini menjadi calon pilihan untuk menerajui Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Berdasarkan maklumat sumber rapat dengan FAM, kekecewaan dengan prestasi Harimau Malaysia bukan satu-satunya faktor Tengku Abdullah mahu melepaskan jawatan yang disandang sejak 2014 itu.

Sebaliknya ia turut dikaitkan dengan perancangan Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang berminat bertanding merebut kerusi Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada pemilihan 26 Februari ini.

“Mungkin sebab kecewa Tengku Abdullah mahu melepaskan jawatan Presiden FAM, tapi beliau bukan individu yang cepat berputus asa. Saya difahamkan peluang untuk Tengku Abdullah mencipta nama di peringkat antarabangsa kini terbuka kerana beliau dikatakan calon pilihan untuk mengambil alih tempat Shaikh Salman sekiranya Presiden AFC itu dilantik presiden baru FIFA.

“Mungkin kerana misi ini juga Tengku Abdullah mahu melepaskan jawatan di FAM namun jika berjaya, itu tidak bermakna beliau akan melupakan tanggung jawab membantu pembangunan bola sepak negara.

“Jika Tengku Abdullah bersama AFC sekalipun, ia juga memberi ruang untuk Malaysia mendapatkan bantuan dari segi pembangunan,” kata sumber itu.

Arena Metro semalam melaporkan mengenai kesediaan Tengku Abdullah untuk meletakkan jawatan Presiden FAM dalam tempoh terdekat ini apabila memberi bayangan mengenai hasratnya itu dalam ucapan pada Majlis Pengenalan Penaja Skuad Bolasepak Kebangsaan 2016.

Tengku Abdullah, yang kini salah seorang Exco FIFA pernah menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan pada September lalu selepas kekalahan teruk 0-10 Harimau Malaysia di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019.

Selepas itu beliau turut mengulangi pendirian pada mesyuarat Exco FAM November lalu, namun barisan Exco mahu mengadakan perbincangan terlebih dulu sehingga kini belum diketahui kata putus.

Sementara itu Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah yang diberi mandat untuk menjadi pemangku sehingga petang semalam gagal dihubungi bagi sebarang penjelasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:44 AM