Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semakin hampir ‘angkat kaki’ meninggalkan badan induk itu apabila memberi bayangan untuk melepaskan jawatan dalam tempoh terdekat ini.

Ini bukan kali pertama Tengku Abdullah menyuarakan hasrat itu namun semalam pada Majlis Pengenalan Penaja Skuad Kebangsaan 2016 beliau memberikan petanda cukup jelas tempoh menerajui FAM bakal berakhir.

“Skuad kebangsaan sudah mendapat gelaran baru, jurulatih baru, pemain baru dan mungkin presiden baru nanti,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Apa yang menguatkan lagi spekulasi itu apabila sumber dalaman FAM turut mengesahkan mengenai kesediaan Tengku Abdullah mengotakan janjinya untuk memberi laluan kepada pemimpin baru.

“Memang benar Tengku Abdullah ada perancangan untuk meletakkan jawatannya dalam tempoh terdekat. Sekarang bergantung sepenuhnya untuk beliau membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasrat meletakkan jawatan.

“Tapi melihat kepada situasi ketika ini, beliau memang serius,” katanya.

Tengku Abdullah menyandang jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018 dengan mengambil alih tempat ayahandanya Sultan Ahmad Shah selepas memenangi pemilihan pada Kongres Tahunan FAM ke-50.

Namun susulan prestasi buruk Harimau Malaysia termasuk dibelasah 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 September lalu, beliau menyuarakan hasrat meletakkan jawatan dengan memberi laluan kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah yang bertindak sebagai pemangku.

Tengku Abdullah kemudian sekali lagi mengulangi keinginan itu pada Mesyuarat Exco FAM November lalu, namun barisan Exco memilih untuk membincangkan dulu perkara itu sebelum membuat keputusan.

Tapi, perkembangan terbaru semalam mungkin menyaksikan Tengku Abdullah kali ini benar-benar serius untuk meninggalkan badan induk bola sepak negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:43 AM