PADANG  rumput tiruan.
PADANG rumput tiruan.
Oleh Asrol Awang


Maran: Jika sebelum ini FELDA United FC ‘menumpang’ stadium, kelab itu kini boleh berbangga apabila bakal beraksi di gelanggang sendiri iaitu Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, untuk saingan Liga Malaysia musim 2016.

Stadium bernilai RM92 juta itu bukan saja mampu menempatkan 20,000 penyokong, malah kemudahan yang disediakan di stadium itu juga bertaraf antarabangsa, sekali gus memberikan inspirasi kepada rakyat negara ini, khususnya warga peneroka.

Lebih menarik, STAR menggunakan padang rumput tiruan yang pasti menyaksikan corak permainan lebih pantas akan dipersembahkan berbanding rumput biasa kepada semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia, khususnya Liga Super.

Pada 13 Februari ini, FELDA United FC yang dibimbing Irfan Bakti akan melayan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah dalam misi meraih tiga mata pertama pada aksi pembuka tirai Liga Super.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang Datuk Abu Bakar Harun berkata, dengan adanya STAR di Bandar Tun Abdul Razak menjadi kebanggaan warga FELDA di negeri itu.

Katanya, stadium serba moden itu juga diyakini memberikan impak positif terutama dari segi ekonomi memandangkan ia terletak di tengah-tengah Bandar Tun Abdul Razak.

“Kerajaan Pahang percaya kemudahan sukan ini juga bakal menarik minat warga FELDA untuk membabitkan diri dalam sukan terutama bola sepak bagi melahirkan pemain berkaliber pada masa depan,” katanya.

Sebelum ini, FELDA United FC tidak mempunyai stadium sendiri dan menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, sebagai gelanggang tuan rumah.

Atas keprihatinan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan STAR ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka di Bandar Tun Abdul Razak pada Julai 2011.

Hasilnya, FELDA perlu berbangga dengan adanya stadium berkenaan yang dijangka menarik minat warga peneroka untuk menyaksikan kelibat pemain FELDA United FC musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:37 AM