PBFW Kuantan meraikan kejuaraan memenangi Piala Pengerusi FELDA 2018 selepas menewaskan PBFW Mempaga, semalam.
PBFW Kuantan meraikan kejuaraan memenangi Piala Pengerusi FELDA 2018 selepas menewaskan PBFW Mempaga, semalam.
Helmi Talkah


PERSATUAN Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Kuantan menebus duka tahun lalu apabila akhirnya menjulang gelaran Piala Pengerusi FELDA 2018 menewaskan PBFW Mempaga 4-2 menerusi penentuan penalti, har ini.

Penjaga gol gantian Hafizunna’im Mohd Farid muncul wira buat naib juara edisi 2017 itu pada perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Terdahulu, kedudukan kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas berakhir masa sebenar dan perebutan juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Hafizunna’im yang dibawa masuk pada hujung babak pertama selepas kecederaan menimpa Nasrul Nasri bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti pertama dan ketiga sebelum Zulnain Mustafa Kamal tenang memastikan kemenangan pada tendangan penalti keempat PBFW Kuantan.

Sebagai juara, skuad kendalian Budi Harnalies Ali itu membawa pulang piala pusingan serta wang tunai keseluruhan RM20,000 manakala PBFW Mempaga sekadar meraih RM15,000.

Bagi Pengurus PBFW Kuantan, Raduan Rozali, kemenangan itu amat bermakna selepas dikecewakan PBFW Alor Setar pada final tahun lalu.

“Piala Pengerusi FELDA ini sudah memasuki tahun kelima penganjurannya, kami gagal pada cubaan final edisi keempat kejohanan ini disebabkan ramai pemain mengalami masalah kecederaan pada saat akhir.

“Untuk tahun ini hendak kata kami membuat persiapan rapi tidak juga sebab pemain tinggal jauh dan sukar untuk mengadakan latihan berterusan. Tetapi disebabkan mereka setiap hari bermain bola sepak, jadi lebih mudah untuk kami membentuk mereka.

“Sudah pasti kejayaan ini membanggakan kerana kami berjaya mencapainya lebih awal daripada sasaran asal pada 2019 di mana kami sedang membangunkan projek #GemilangKuantan antara 2017 hingga 2019,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi FELDA Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang hadir meraikan saingan turut gembira dengan penganjuran berterusan Piala Pengerusi FELDA yang dilihat sebagai wadah penyatuan anak peneroka.

Katanya, beliau amat bangga kerana FELDA memilih untuk memajukan sukan bola sepak.

“Malah, kesungguhan itu dilihat bukan saja menerusi sokongan penuh kepada pasukan utama FELDA United tapi juga dalam membangunkan sukan itu di peringkat akar umbi dengan penubuhan Akademi Bolasepak FELDA.

“Jadi, Piala Pengerusi FELDA ini satu lagi rancangan kami untuk memberi peluang dan pendedahan kepada anak peneroka mengembangkan bakat.

“Saya turut diberitahu sasaran kami untuk pasukan FELDA United 100 peratus dibarisi anak peneroka kini berada dalam landasan yang betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 9:13 PM