Anggota MOSAR mengusung mangsa yang cedera. FOTO ihsan bomba
Anggota MOSAR mengusung mangsa yang cedera. FOTO ihsan bomba
Ardyhansah Amat

Ranau: Lelaki warga United Kingdom cedera selepas tergelincir ketika dalam perjalanan mendaki Gunung Kinabalu, di sini, petang, semalam.

Mangsa, Imran Ahmed Syed, 43, cedera di kaki kiri selepas tergelincir di Kilometer (km) 3.3 berhampiran Pondok Mempening, namun meneruskan pendakian tanpa mengendahkan kecederaannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Ranau Jimmy Lagon ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

"Mangsa tidak memaklumkan mengenai kecederaannya kepada malim gunung dan meneruskan perjalanannya.

"Bagaimanapun, selepas berjalan sejauh 1.7 km, mangsa akhirnya memaklumkan perkara itu kepada malim gunung bertugas selepas tidak dapat menahan kesakitan sebaik tiba di Pondok Villosa (km 5)," katanya, di sini, hari ini.

Mangsa kemudian dibawa turun Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dan tiba di Timpohon Gate pada 9.20 malam tadi dan dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 8:00 AM