Juwan Riduan


Ranau: Angin kencang dan cuaca sejuk tidak menghalang Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) untuk membawa turun seorang wanita yang cedera ketika menuruni Gunung Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun yang cedera di bahagian kaki dibawa turun dari Sayat-Sayat Hut ke Timpohon Gate.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9 pagi.

MANGSA diusung oleh PBB MOSAR dan malim gunung. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA diusung oleh PBB MOSAR dan malim gunung. FOTO Ihsan Bomba

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba jam 10.10 pagi

"Mangsa dilaporkan terjatuh sehingga menyebabkan kaki kiri bengkak dan mangsa sukar untuk bergerak.

"Mangsa diusung menggunakan peralatan pengusung oleh PBB MOSAR dan malim gunung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa selamat tiba di Timpohon Gate kira-kira jam 7 malam.

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada Unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Ranau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 9:38 AM