MANGSA disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebaik tiba di Timpohon Gate. FOTO ihsan polis
MANGSA disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebaik tiba di Timpohon Gate. FOTO ihsan polis
Juwan Riduan


Ranau: Pendaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas ketika menuruni Gunung Kinabalu bersama isterinya, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Alexander Kueh Chek Boo, 46, berasal dari Kuching, Sarawak disahkan meninggal oleh pasukan perubatan sejurus tiba di Timpohon Gate selepas tidak sedarkan diri ketika berada di Kilometer 2.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa bersama isterinya menaiki gunung pada Isnin dan tiba di stesen Panarlaban kira-kira jam 5 petang.

Bagaimanapun, pasangan terbabit terpaksa turun semula kira-kira jam 10 malam selepas isteri mangsa mengadu sesak nafas.

Beliau berkata, mangsa turut mengikuti pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) yang mengusung isterinya untuk dibawa turun ke Timpohon Gate.

"Menurut malim gunung yang berada di belakang pasangan suami isteri terbabit sepanjang perjalanan, mangsa mengadu sesak nafas ketika mereka sampai di Kilometer 2 dan dia (mangsa) kemudian terduduk lalu tidak sedarkan diri.

"Malim gunung seterusnya menghubungi pihak MOSAR yang berada di Kilometer 5 untuk mendapatkan bantuan namun usaha pihak bomba menyedarkan mangsa dengan teknik CPR (bantuan pernafasan kecemasan) tidak berjaya menyebabkan mangsa segera diusung turun ke Timpohon Gate.

"Setibanya di Timpohon Gate, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," ketika dihubungi, hari ini.

Simiun berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk proses bedah siasat.

"Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 12:19 PM