Radamel Falcao berharap akan menjadi jiran paling meriah musim ini. Ini disebabkan burung kakak tua peliharaan penyerang Manchester United itu akan 'berkata-kata' setiap kali pemiliknya menjaringkan gol!

Pemain berusia 28 tahun itu yang berpindah ke Old Trafford pada hari terakhir perpindahan meledakkan jaringan sulung buat Red Devils untuk menewaskan Everton hujung minggu lalu.

Isteri Falcao, Lorelei, 26, berkata: "Burung kakak tua saya berkata, 'gol dari Falcao' , 'gol hebat' dan banyak lagi.

Bintang Colombia itu sudah pun beraksi dalam empat perlawanan dalam usahanya membantu United yang masih bergelut memburu kemenangan di bawah kendalian Louis van Gaal.

Falcao ketika ini bersama skuad Colombia yang akan menentang Kanada minggu depan.

Pada masa sama, Falcao turut berterima kasih kepada United kerana sanggup mengambil risiko dengan mengambilnya.

Penyerang Colombia itu mengakui mengalami kecederaan ligamen yang menyebabkannya tidak dapat beraksi di Piala Dunia tetapi mengesahkan akan memberi sepenuh komitmen kepada United selepas mereka meminjamnya dari Monaco.

"Manchester United sanggup mengambil risiko mendapatkan saya meskipun mustahil melakukannya. Ia satu tahun yang sukar, bukan saja buat karier saya sebagai pemain profesional.

"Apa yang berlaku pada awal tahun ini (menerusi kecederaan lutut serius) benar-benar memberi kesan tetapi ia juga membantu saya menjadi semakin dewasa, berfikir mengenai banyak perkara dan menjadi matang.

United mengambil Falcao menerusi pinjaman selama semusim dari Monaco dengan pilihan untuk membeli pemain itu.

Kedua-dua pihak dilaporkan bersetuju dengan syarat masing-masing dan perpindahan secara kekal akan membabitkan bayaran STG43 juta (RM225.9 juta).

"Perancangan saya pada masa depan adalah mahu terus bersama Manchester United untuk tahun mendatang," katanya.

"Saya masih memerlukan masa untuk me­nyesuaikan diri tetapi saya selesa dan tidak berdepan masalah di padang, tenang mengendalikan bola dan kehidupan pemain bola sepak."

Pemergian Falcao mencetuskan protes peminat di Monaco dan dia memahami kekecewaan mereka, sama seperti berlaku kepada James Rodriguez yang berpindah ke Real Madrid.

"Ia mudah difahami kerana harapan sudah dibina musim lalu. Kini mereka perlu mengurang­kan perbelanjaan selain mengukuhkan asas yang dibina.

"Mereka sudah me­ngubah polisi dan kini lebih bergantung kepada pemain muda yang boleh memberikan keputusan yang baik.

"Saya berterima kasih kepada mereka untuk kenangan pahit dan manis, semua itu membuat saya menjadi dewasa."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:07 AM