Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan beberapa tonggak utama pada aksi ketiga pramusim Selangor nyata mengundang masalah besar buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan apabila tewas tipis 0-1 kepada Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Kekalahan itu turut mencalarkan rekod bersih Selangor dalam misi persediaan menghadapi saingan Liga Super musim ini selepas dua aksi sebelum ini menyaksikan mereka menang ke atas Sarawak (2-0) dan Kuala Lumpur (2-1).

Zainal yang akan menerajui pasukannya dalam empat kejohanan besar membabitkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC, mengakui sengaja tidak menyenaraikan skuad utama dengan merehatkan Patrick Ronaldinho Wleh, Robert Cornthwaite serta R Gopinathan bagi melihat keupayaan pasukan beraksi tanpa mereka.

Katanya, eksperimen itu menampakkan anak buahnya nyata gagal memberi tentangan sengit kepada benteng pasukan tuan rumah.

“Ini yang mahu kami pelajari - agar tidak terlalu bergantung kepada mereka (pemain utama).

“Sudah tentu dalam saingan sebenar nanti akan ada satu atau dua perlawanan yang kami mungkin beraksi tanpa pemain utama. Jadi kami perlu mencari corak permainan terbaik tanpa mereka.

“Pemain tidak menunjukkan permainan sebenar mereka pada perlawanan ini. Ia juga kali pertama kami menyusun sesuatu untuk perlawanan di tempat lawan sambil belajar beberapa perkara baharu,” kata Zainal.

Pada aksi itu, gol kemenangan skuad Harimau Kumbang itu diperoleh menerusi sentuhan bekas penyerang Harimau Muda C Jafri Firdaus Chew yang menanduk masuk sepakan sudut pada minit ke-83, menewaskan penjaga gawang gantian Selangor Zarif Irfan Hashimuddin.

Sebaik tamat aksi, Selangor terus terbang ke Bangkok, untuk menyambung dua lagi aksi pramusim bertemu Nakhon Pathom United FC hari ini dan Samut Songkhram BTU FC (esok).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:04 AM