REAKSI Feichtenbeiner ketika Selangor bertemu Melaka United. FOTO Syafeeq Ahmad
REAKSI Feichtenbeiner ketika Selangor bertemu Melaka United. FOTO Syafeeq Ahmad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC kini di fasa terakhir persiapan sebelum membuka kempen Liga Super musim ini berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat ini.

Begitupun, jurulatih pasukan, Michael Feichtenbeiner mengakui masih wujud kelemahan terutamanya di bahagian pertahanan yang dilihat agak longgar.

Katanya, berbaki beberapa hari ini beliau akan menumpukan aspek itu sebelum turun menentang juara Piala Malaysia musim lalu itu.

"Saya gembira dengan komitmen pemain kerana mereka sedang membina persefahaman sekarang. Tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.

"Kami akan memberi tumpuan kepada benteng pertahanan untuk menjadikannya lebih stabil dan kuat," katanya.

Jelasnya lagi, beliau bagaimanapun berpuas hati dengan jentera serangan pasukan yang dilihat cukup ampuh dalam beberapa aksi pramusim sebelum ini.

"Walaupun begitu, saya percaya kami mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menjaringkan gol seperti yang kami lakukan dalam kebanyakan perlawanan persahabatan," kata jurulatih berasal dari Jerman itu.

Pada aksi pramusim terakhir Sabtu lalu, skuad Gergasi Merah diikat 3-3 dengan Melaka United dalam perlawanan persahabatan Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 di Stadium Hang Jebat.

Begitupun, harapan untuk membawa pulang trofi hampa apabila skuad kendalian Feichtenbeiner tewas 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 5:13 PM