DIMAS (kanan) dan Udin sertai skuad Indonesia B-23. FOTO/FAIL
DIMAS (kanan) dan Udin sertai skuad Indonesia B-23. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor


SELEPAS tewas dalam dua perlawanan awal Piala Malaysia, Selangor mula merasai ketiadaan tiga tonggak utama yang menjadi punca utama kejatuhan prestasi mereka.

Red Giants kehilangan khidmat dua pemain import iaitu Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang menyertai skuad Indonesia serta pemain skuad bawah 23 (B-23) Malaysia, Syahmi Safari yang kini bersama skuad negara masing-masing di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mengakui ketiadaan tiga pemain itu memberikan impak yang besar terhadap persembahan Selangor terutama di bahagian tengah.

“Kami sedar bahawa kami tidak mempunyai skuad yang lebih mantap untuk kempen Piala Malaysia, tambahan pula dengan ketiadaan tiga tonggak di jentera tengah.

“Semua tahu bahawa mana-mana pasukan bola, posisi itu yang paling penting. Jadi kami terpaksa akur yang ketiadaan mereka memang memberi kesan besar terhadap permainan Selangor,” katanya.

Selangor yang juga pasukan paling banyak menjuarai Piala Malaysia kini berada di kedudukan tercorot Kumpulan D selepas tewas 0-3 kepada PKNP FC pada aksi pertama selain turut kecundang 0-2 di tangan Pahang.

Lebih mengecewakan, Red Giants meratapi kedua-dua kekalahan itu di gelanggang keramat mereka iaitu Stadium Shah Alam.

Justeru, aksi ketiga berdepan Sabah di Stadium Likas, malam esok dilihat bakal memberi kesan terhadap peluang skuad bimbingan Nazliazmi Nasir itu dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Mengulas lanjut, Johan bagaimanapun percaya Selangor bakal tampil dengan persembahan lebih baik dan mampu mencuri mata di gelanggang lawan.

“Saya rasa pada aksi pertama dan kedua sebelum ini, jurulatih sedang mencuba gandingan pemain baharu (selepas ketiadaan tiga tonggak utama).

“Jadi, saya harap perlawanan ketiga ini ia menjadi terutama dalam membentuk kombinasi yang baik antara pemain dan kami sangat mengharapkan kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 12:25 PM