FIRDAUS Mohamed (kanan). FOTO NSTP.
FIRDAUS Mohamed (kanan). FOTO NSTP.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Liga Perdana, Selangor United menjadikan Indonesia sebagai destinasi untuk mengasah taring sebelum bermulanya saingan, 1 Februari ini.

Presiden Selangor United, Mohd Firdaus Mohamed berkata, kelabnya akan ke Bandung hari ini bagi melakukan persediaan pramusim fasa akhir sambil menjadikan tiga kelab di sana sebagai lawan pemanas badan mereka.

Skuad bimbingan Abdul Talib Sulaiman ini sudah mengharungi lapan perlawanan persahabatan kebanyakannya di Lembah Klang dengan pasukan Liga Super, Perdana dan luar negara.

Antaranya menewaskan skuad Piala Presiden sendiri 5-2 dan Perlis 4-1 selain kalah kepada Korea University 2-4, skuad bawah 21 tahun negara 0-3, Pahang 0-2, Polis Diraja Malaysia 0-1, Yemen 0-1 dan Melaka United 2-3 serta Sarawak 0-2.

"Siri pramusim di Bandung juga menjadi kesempatan terbaik kami menguji dan membentuk kesebelasan utama selain mengisi kuota pemain import keempat antara dua calon dari Haiti atau Korea Selatan.

"Kami menimba banyak pengajaran daripada siri pramusim yang kebanyakannya dengan lawan lebih berpengalaman dan bertaraf lebih tinggi.

"Saya yakin ada kejutan yang boleh dicipta Selangor United musim ini. Walaupun muka baharu Liga Perdana, tidak semestinya kami boleh dianggap pasukan belasahan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Untuk rekod, Talib berjaya membimbing pasukan ini muncul naib juara Piala FAM 2018 selepas tumbang 0-2 kepada Terengganu City FC pada final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 2:45 PM