Hamzah Osman

Langkawi: Polis menahan 17 lagi individu termasuk seorang wanita warga Thailand kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, mereka yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu bermula jam 4 petang itu berusia antara 20 hingga 41 tahun.

menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 47 orang dalam operasi sama sejak dua hari lalu.

"Susulan tangkapan 30 suspek kelmarin (Khamis), polis meneruskan operasi dan menahan 17 lagi individu dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah di lima lokasi sekitar daerah ini.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek terbabit juga mendapati kesemua mereka positif dadah.

"Turut dirampas daripada beberapa suspek dalam operasi itu ialah dadah jenis heroin seberat 1.4 gram (gm), syabu 0.1gm, tiga pil yaba, dua pil eramin 5 dan air ketum 1,000 mililiter," katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya 1952, Seksyen 12(3) akta sama dan Seksyen 9(1) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 1:15 PM