ANTARA 30 individu yang ditahan dalam Ops Tapis Sepadu di Langkawi. FOTO ihsan Polis
ANTARA 30 individu yang ditahan dalam Ops Tapis Sepadu di Langkawi. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Tiga puluh orang termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam Op Tapis Sepadu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, dalam operasi bermula 2.30 petang, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah, serbuk ketum dan ubat batuk dalam serbuan di lima kampung di daerah ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 40 tahun.

Katanya, operasi dilakukan membabitkan lima lokasi iaitu Kampung Kelibang, Bakau, Sungai Kerman, Sungai Menghulu dan Bukit Malut, di sini.

"Turut dirampas dalam operasi sama termasuk 5.2 gram (g) dadah jenis heroin, 0.3g syabu dan 5.0g ganja, selain 43.0g serbuk ketum dan 400 mililiter ubat batuk," katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman seminggu dan sebahagian besar disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1) akta sama.

Katanya, dua lagi suspek masing-masing disiasat mengikut Seksyen 30(3) dan 9(1) Akta Racun 1952.

"Seorang suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri motosikal, manakala remaja perempuan itu dipercayai sedang mengandung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:29 AM