ANTARA lokasi yang diserbu.
ANTARA lokasi yang diserbu.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Tiga belas pusat judi dalam talian di Cheras, Wangsa Maju, Kajang dan Brickfields digempur Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman dalam operasi selama enam jam yang berakhir 11 malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, hasil pemeriksaan, 42 individu ditahan termasuk empat wanita dan enam warga asing membabitkan 17 penjaga dan 25 pemain judi.

Katanya, turut dirampas wang tunai RM3,856 serta 324 unit komputer, buku dan dokumen berkaitan aktiviti perjudian serta peralatan capaian internet.

"Hasil pemeriksaan, semua premis judi ini dikawal melalui kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa dan mengenal pasti pelanggan tetap.

"Hasil rampasan dan tangkapan diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, IPD Brickfield, IPD Cheras dan IPD Kajang untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 4:06 PM