ANTARA premis diserbu polis. FOTO ihsan Polis
ANTARA premis diserbu polis. FOTO ihsan Polis
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menyerbu tujuh premis judi dan menahan 20 individu termasuk dua lelaki dikehendaki polis, di Cheras dan Ampang, dalam operasi tujuh jam yang berakhir 11.59 malam semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, antara lokasi serbuan adalah Bandar Sri Permaisuri, Taman Midah, Taman Segar dan Taman Pulu Ulu serta sebuah premis di Taman Kosas, Ampang.

Katanya, lapan individu yang ditahan adalah penjaga premis termasuk dua warga Bangladesh manakala 12 lagi pemain judi berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun.

"Polis turut merampas 127 komputer dan komputer riba termasuk buku dan dokumen berkaitan aktiviti perjudian berkenaan serta wang tunai sebanyak RM2,064.

"Semua rampasan dan tangkapan diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan Ampang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 5:31 PM