Noor Hashim (kiri) menyoal dua remaja yang ditahan dalam operasi 'Ops Dadu' di premis Pusat Hiburan Keluarga (PHK) di sebuah pusat beli belah di Taman Pulai Utama, Skudai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Noor Hashim (kiri) menyoal dua remaja yang ditahan dalam operasi 'Ops Dadu' di premis Pusat Hiburan Keluarga (PHK) di sebuah pusat beli belah di Taman Pulai Utama, Skudai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Polis menahan 12 kaki judi dan dua penjaga premis dalam serbuan Ops Dadu di dua premis pusat hiburan keluarga (PHK) di pusat beli-belah di Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai di sini, malam tadi.

Semua yang ditahan dalam serbuan selama hampir tiga jam bermula 9 malam itu, berusia 18 hingga 40 tahun termasuk seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya turut merampas 27 mesin permainan dipercayai berunsurkan perjudian di kedua-dua premis berkenaan.

"Hasil siasatan awal, kita mendapati premis berkenaan dipercayai menyalahgunakan lesen PHK dengan menawarkan permainan judi.

"Premis berkenaan juga dilengkapi kamera liter tertutup (CCTV) dan ketika serbuan dijalankan kaki judi sedang leka bermain judi," katanya yang ditemui ketika operasi berkenaan, malam tadi.

Menurut Noor Hashim, semua individu yang ditahan bersama barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, untuk siasatan lanjut.

"Polis akan meningkatkan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan perjudian haram yang berselindung di sebalik PHK yang mempunyai lesen," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 7 (1) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 10:20 AM