PEMAIN Sabah, Radzi Hussin (tengah) cuba melepasi pemain Kedah.
PEMAIN Sabah, Radzi Hussin (tengah) cuba melepasi pemain Kedah.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Kota Kinabalu: Kedah berpeluang cerah melangkah ke separuh akhir Piala FA musim ini apabila berjaya menjinakkan Sabah 2-1 pada suku akhir pertama di Stadium Likas, malam tadi.

Helang Merah meraih gol menerusi Bang Seung Hwan (minit ke-39) dan Baddrol Baktiar (m-69) manakala Igor Cerina merapatkan kedudukan buat Sabah pada masa kecederaan babak kedua.

Sebaik wisel ditiup, skuad Badak memulakan rentak permainan dengan beberapa serangan awal ke gawang pelawat menerusi percubaan Leopold Otong pada minit kedua namun berjaya ditolak keluar penjaga gol Kedah Farhan Abu Bakar.

Empat minit berselang penyerang import tuan rumah Prince Nnake sekali lagi membuat percubaan namun sepakannya terus ke dakapan Farhan.

Sabah sekali lagi berpeluang mendahului menerusi sepakan percuma Dedi Kusnandar menerusi sepakan pada minit ke-11 namun percubaannya tinggi melewati gawang pelawat.

Penyerang Kedah, Baddrol hampir meletakkan pelawat di depan selepas bertembung satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah Rozaimie Rohim namun percubaannya ditolak keluar pada minit ke-28.

Sekali lagi Baddrol membuat percubaan dalam kotak penalti namun sepakannya terkena palang tuan rumah pada minit ke-36.

Asakan berterusan pelawat membuahkan hasil apabila berjaya memperolehi gol pertama hasil jaringan Seung Hwan selepas menerima bola hantaran Syazwan Zainon.

Hampir 10,000 penyokong tuan rumah sekali lagi dikecewakan dengan gol kedua pasukan pelawat menerusi jaringan Baddrol pada minit ke-69 selepas menerima hantaran Syazwan.

Namun Sabah berjaya memperoleh gol tunggal pada masa kecederaan hasil jaringan Cerina yang menanduk masuk sepakan percuma Randy Baruh.

Sabah akan bertemu Kedah pada suku akhir kedua 1 April ini di Stadium Darul Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:26 AM