ACARA menembak dikenal pasti dapat memberikan pingat kepada kontinjen Pahang.
ACARA menembak dikenal pasti dapat memberikan pingat kepada kontinjen Pahang.
Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: Hanya sukan yang menjanjikan pingat saja akan dihantar kontinjen Pahang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-16 di Sarawak, Julai depan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Mohd Johari Hussain, yang memaklumkan keputusan berkenaan dibuat hasil perbincangan awal memandangkan kos tinggi untuk membawa atlet serta barisan kejurulatihan pada temasya itu.

Katanya, buat masa ini pihaknya belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai kontinjen yang akan dibawa menyertai SUKMA Ke-16 itu.

“Banyak perkara perlu diambil kira memandangkan kos untuk membawa atlet ke Sarawak membabitkan peruntukan besar,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyediakan pengangkutan iaitu tambang kapal terbang saja pihaknya menganggarkan kosnya boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

“Itu belum lagi kos lain yang perlu ditanggung,” katanya.

Mohd Johari berkata, hingga kini persediaan rapi untuk atlet yang akan menyertai temasya dwitahunan itu berjalan lancar.

Katanya, latihan sudah bermula sejak tahun lalu selepas pihaknya mengenal pasti atlet berpotensi menyumbangkan pingat untuk kontinjen Pahang.

“Persediaan lain juga sedang dilakukan dan kami sudah mengenal pasti dua sukan hampir pasti mewakili kontinjen Pahang dalam saingan SUKMA Ke-16 iaitu pasukan menembak dan kapal layar,” katanya.

Menurutnya, proses pemilihan sukan lain akan dibuat kemudian selepas mesyuarat membabitkan Jabatan Belia dan Sukan Pahang awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:09 AM