FADZLI (kanan) mengadakan pertemuan dan menyaksikan latihan skuad tinju Sukma Pahang di Pusat Latihan Tinju, Majlis Sukan Pahang, Kuantan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
FADZLI (kanan) mengadakan pertemuan dan menyaksikan latihan skuad tinju Sukma Pahang di Pusat Latihan Tinju, Majlis Sukan Pahang, Kuantan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang optimis kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) negeri itu akan membawa pulang 40 pingat emas pada temasya Sukma Sarawak 2024, yang dijadualkan Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, segala persediaan sudah dilakukan untuk mencapai sasaran itu.

"Sasaran itu bagi memperbaiki pencapaian Sukma Kuala Lumpur 2022 yang menyaksikan Pahang menamatkan di kedudukan kesembilan keseluruhan pada temasya sukan itu.

"Sasaran ini bukan daripada saya sahaja tetapi ia membabitkan keseluruhan daripada pegawai Majlis Sukan Pahang (MSP), jurulatih dan atlet yang bertanding.

"Daripada segi komitmen, Kerajaan Pahang sudah memberikan yang terbaik terutama kebajikan penyelaras sukan, jurulatih dan atlet membabitkan penambahan elaun latihan.

"Kita percaya dengan komitmen semua, sasaran 40 pingat emas dan menduduki lima kedudukan terbaik pada temasya sukan kali ini tercapai," katanya.

Fadzli berkata demikian Ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan jurulatih dan atlet tinju Sukma Pahang di Pusat Latihan Tinju, Majlis Sukan Pahang, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 9:56 PM