JOHARI (tengah) menegaskan sepanjang tempoh PKP tiada alasan buat semua atlet negeri itu untuk tidak berlatih. FOTO ZULKEPLI OSMAN
JOHARI (tengah) menegaskan sepanjang tempoh PKP tiada alasan buat semua atlet negeri itu untuk tidak berlatih. FOTO ZULKEPLI OSMAN
Asrol Awang


LEBIH 600 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Pahang diminta terus menjalani latihan seperti biasa biarpun penganjuran Sukma Johor hanya akan berlangsung dari 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, latihan itu penting untuk mengekalkan stamina dan fokus setiap atlet.

Sehubungan itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada alasan buat semua atlet negeri itu untuk tidak berlatih.

"Tahap kecergasan dan fokus perlu diberi penekanan semua atlet untuk memastikan kontinjen Sukma Pahang berada pada prestasi terbaik pada temasya itu nanti.

"Segala program yang diatur terutama latihan yang diberikan jurulatih perlu diikuti atlet untuk mengekalkan tahap kecergasan mereka, khususnya disiplin," katanya.

Mengulas penundaan Sukma Johor yang dijadualkan 6 hingga 14 Mac 2021, Mohd Johari berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) menyambut baik keputusan itu demi keselamatan dan kesihatan semua yang terbabit dalam temasya itu.

Katanya, penundaan itu juga dapat memastikan penularan wabak Covid-19 dapat disekat sepenuhnya.

"Oleh itu, semua atlet diharap mematuhui PKP serta mengamalkan pemakanan sihat," katanya.

Pada 23 April lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma memutuskan Sukma Johor dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Bagaimanapun, berdasarkan satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu memaklumkan tarikh berkenaan akan sekali lagi dibincangkan mesyuarat sama pada Oktober nanti sekiranya ada perubahan.

Turut dipersetujui adalah tarikh Para Sukma Johor 2020 yang ditunda ke satu tarikh baharu iaitu dari 5 hingga 10 April tahun depan selain penjenamaan temasya berkenaan kekal kepada SUKMA 2020 dan Para SUKMA 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 5:45 PM