SATU daripada tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
SATU daripada tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di persimpangan Cengkih Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Khairul Irfan Mohd Khairul Amry maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa menaiki kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu ibunya dan dalam perjalanan dari arah Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah menghala ke Semambu.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dari arah bertentangan terbabas dan masuk ke laluan mangsa sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa dan sebuah kereta lain.

"Pertembungan itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Ibu mangsa cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, mangsa yang juga anak anggota polis Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan akan dikebumikan di Kampung Aur Telong, Bachok, Bachok selepas proses bedah siasat di HTAA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 1:10 PM