Sebuah kenderaan yang hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Sebuah kenderaan yang hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Polis mengenal pasti identiti sembilan mangsa termasuk kanak-kanak yang maut dalam kebakaran dua rumah jenis Semi-D di Jalan Permatang Badak Perdana 2, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Aisliki Mohd Saupi, 2.

Katanya, bapa dan ibu kanak-kanak itu, Mohd Saupi Mat Daud, 37, dan Nurolzila Mohd Nor, 31, pula mengalami kecederaan parah.

"Turut cedera parah ialah adik Mohd Saupi iaitu Siti Shaida Mat Daud, 32, serta rakan Mohd Saupi, Mohd Azwan Kali, 35, yang berada di rumah kedua.

"Rumah pertama pula membabitkan empat beranak yang mengalami cedera ringan iaitu Mohd Helmie Mohd Fauzi, 31, dan Irfah Aqilah Hasnol, 30, serta dua anak, Nur Irdina Umairah, lapan bulan, dan Muhammad Ikhmal Haziq, 5," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati api dipercayai bermula dari rumah kedua sebelum merebak ke rumah pertama.

Katanya, menurut saksi, kebakaran bermula di ruang tamu rumah kedua sebelum disusuli bunyi letupan dan pihak polis menerima maklumat kejadian pada 3.15 pagi.

"Sehingga kini punca sebenar yang menyebabkan percikan api masih dalam siasatan bomba, manakala anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, semua mangsa kini berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk rawatan lanjut.

"Empat mangsa dari rumah kedua berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA, manakala mayat kanak-kanak lelaki yang maut itu dihantar ke Bahagian Forensik HTAA.

"Kerosakan harta benda dua rumah terbabit dianggarkan 90 peratus yang turut membabitkan tiga kereta dan dua motosikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:02 PM