NORMOLEY bersama pemenang (dari kiri) Mohd Kamil Mustapha, Chong Sing Lee, Tee Tai Ko dan Rokip Lawi.
NORMOLEY bersama pemenang (dari kiri) Mohd Kamil Mustapha, Chong Sing Lee, Tee Tai Ko dan Rokip Lawi.
PENGIRAAN markah dilakukan pengadil dari empat negara.
PENGIRAAN markah dilakukan pengadil dari empat negara.
ORANG ramai yang mengunjungi Padang Asean, Bandar Baru Bangi.
ORANG ramai yang mengunjungi Padang Asean, Bandar Baru Bangi.
ANTARA burung yang dipertandingkan.
ANTARA burung yang dipertandingkan.
Oleh Mohd Hafizan Mohd Rajab


Bagi bukan peminat, tiada yang istimewa dengan seekor burung ketitir atau lebih dikenali dengan merbuk.

Burung itu sudah biasa dilihat berkeliaran, bebas tanpa kurungan, terbang di awan tinggi, malah jika di sesetengah tempat, tiada siapa pedulikannya.

Tetapi tidak kepada pencinta burung itu yang memelihara merbuk sebagai hobi kerana memiliki suara yang begitu merdu.

Selain memiliki suara yang dikatakan mampu menenangkan, merbuk juga burung peliharaan yang cukup mesra dengan pemiliknya dan mampu berkomunikasi selepas diajar bertahun-tahun.

Penulis tidaklah begitu mengenali dunia burung merbuk, justeru bertemu Pengerusi Persatuan Seniman Merbuk Normoley Othman memberi banyak pengetahuan mengenai hobi yang sebati dengan masyarakat Melayu ini.

Menurut Normoley, hobi memelihara burung merbuk pada awalnya aktiviti masa lapang golongan bangsawan sejak zaman Kesultanan Melayu lama.

Namun, mengikut peredaran masa dan minat, aktiviti ini turut dikuasai golongan tani dan nelayan bagi mengisi masa lapang.

Pada masa sama, penulis turut berpeluang mengikuti aktiviti persatuan itu yang menganjurkan Pertandingan Seni Suara Merbuk di Padang Asean, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Di minda penulis, pertandingan itu hanya dikuasai golongan tua jika dilihat pada sejarahnya. Meskipun Normoley tidak menafikan kenyataan itu, namun sejak kebelakangan ini makin ramai golongan muda menunjukkan minat terhadap hobi mahal ini.

“Sejak Persatuan Seniman Merbuk ditubuhkan hampir setahun lalu, makin ramai golongan muda mula terjun dalam hobi ini, malah memasuki pertandingan yang dianjurkan hampir setiap bulan.

“Ini menunjukkan mereka memiliki sifat positif untuk mencari kelainan bagi mengisi masa lapang berbanding menghabiskan masa bermain ‘Playstation’ atau melayari laman sosial setiap masa.

“Ada yang berminat dengan kegiatan ini selepas menerima pendedahan daripada ahli keluarga terutama bapa yang sudah pun ‘bermain’ untuk sekian lama,” katanya.

Kata Normoley, mereka yang ‘tersangkut’ dengan hobi ini sanggup menghabiskan wang sama ada berusaha mendapatkan burung merbuk yang memiliki suara merdu atau membeli sangkar dengan ukiran indah untuk digunakan ketika pertandingan.

“Merbuk mempunyai kelebihan berbanding burung lain kerana suaranya yang merdu. Atas alasan itu, burung ini mampu dijual dengan harga ratusan ribu ringgit bergantung pada kualiti dicari penggemarnya.

“Peminat burung merbuk turut mengamalkan konsep tukar dan beli sesama rakan seperjuangan, tetapi terpulang kepada tuan punya haiwan peliharaan.

“Namun, perkara yang lebih utama adalah membabitkan proses penjagaan burung merbuk kerana ia bukan semudah disangka.

“Seperti manusia, penjagaan makanan dan vitamin tambahan hendaklah diberikan bagi memastikan burung ini sihat terutama menjelang hari pertandingan.

Pertandingan Seni Suara Merbuk peringkat Asean yang berlangsung di Padang Asean, berjaya mengumpulkan 550 pencinta seni suara burung merbuk.

Pertandingan itu menerima 350 penyertaan tempatan, Thailand (100), Indonesia (100) manakala 50 peserta dari Singapura.

“Kami tidak menyangka penyertaan kali ini mencecah lebih daripada 500 penyertaan kerana pertandingan yang dianjurkan persatuan ini belum pun berusia setahun.

“Ini membuktikan hobi memelihara burung merbuk mempunyai pe­ngikutnya tersendiri, malah menjadi dorongan untuk kami tingkatkan prestasi Pertandingan Seni Suara Merbuk pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Normoley, beberapa kriteria utama digunakan bagi mengadili setiap burung merbuk yang menyertai pertandingan itu.

Proses penjurian itu meliputi angkutan atau bahagian hadapan lagu yang mewakili 20 peratus, air suara atau kemerduan suara (20 peratus), jalin atau keaslian suara burung (20 peratus) dan kong atau bahagian hujung suara (40 peratus).

Suara burung merbuk itu pula dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu A, B dan C yang mewakili suara dasar, suara tengah dan suara halus.

Proses pemarkahan dibuat empat juri berpengalaman mewakili empat negara yang menyertai pertandingan itu.

Pada masa sama, Normoley turut berkongsi cerita mengenai padang yang disediakan Persatuan Seniman Merbuk.

“Padang Asean digunakan secara rasmi untuk mengelolakan pertandingan suara burung sejak April tahun lalu dengan mempunyai 827 tiang.

“Kerjasama daripada kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) banyak menyokong usaha kami memartabatkan hobi ini sekali gus menyediakan platform sesuai agar dapat menyatukan semua pemilik burung merbuk.

“Inisiatif itu juga membolehkan kegiatan lampau khazanah Melayu dikembalikan meskipun dunia semakin moden agar ia lebih dikenali oleh generasi muda zaman ini.

“Persatuan Seniman Merbuk ingin melihat aktiviti ini diteruskan generasi muda kerana keistimewaannya ialah ia tidak dipengaruhi budaya Barat,” katanya.

Kata Normoley, kecanggihan teknologi hari ini diharap tidak akan menghapus aktiviti masa lapang bersama burung merbuk dan semoga lebih ramai mahu mewarisi aktiviti ini.

“Pertandingan suara merbuk diadakan setiap bulan untuk masyarakat tempatan. Saya berharap ia mampu menarik kedatangan pengunjung luar untuk menyaksikan sendiri keghairahan pemilik burung, sekali gus menjadi tarikan pelancong asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 5:01 AM