Johan keseluruhan Pertandingan Gurindam Merbuk Putrajaya, Jeff Chong, 48, dari Johor (tengah) bersama Johan kategori A, Prof Datuk Seri Dr Syed Putra Meir (kiri) dan Johan kategori B, Hui Kok Meng, 46. - Foto Bernama
Johan keseluruhan Pertandingan Gurindam Merbuk Putrajaya, Jeff Chong, 48, dari Johor (tengah) bersama Johan kategori A, Prof Datuk Seri Dr Syed Putra Meir (kiri) dan Johan kategori B, Hui Kok Meng, 46. - Foto Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Perjalanan lebih 300 kilometer dari Johor Bahru ke Putrajaya berbaloi kepada Jeff Chong apabila memenangi Piala Merdeka dalam Pertandingan Gurindam Merbuk Putrajaya.

Burung merbuk kesayangannya, 'San Lian Kuan' bermaksud 'juara tiga kali' yang dibelinya dengan harga RM10,000 empat bulan lalu, nyata membawa tuah kepadanya yang turut mendapat naib johan kategori B (Burung Merbuk Suara Sederhana).

Jeff, 48, yang memiliki restoran berkata, dia pernah ditawarkan lebih RM20,000 untuk menjual burung merbuk itu namun menolaknya.

“Saya beri nama 'San Lian Kuan' kerana mahu menang tiga kali. Sekarang baru menang dua kali. Saya memang puas hati beli burung ini," katanya selepas pertandingan itu di Taman Wetland di sini, hari ini.

Jeff memelihara burung merbuk sejak 1985 dan kini mempunyai lebih 30 ekor burung itu.

Pertandingan Gurindam Merbuk Putrajaya yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan ke-59 disertai lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara yang turut mempertandingkan Kategori A (Burung Merbuk Suara Kasar), Kategori C (Burung Merbuk Suara Halus) dan burung merbuk Kategori Remaja.

Juara Kategori Remaja, Muhamad Hazren Khamis, 38, berbelanja sehingga RM20,000 untuk membeli burung merbuk berusia enam bulan itu.

"Kos membeli dan menjaga burung merbuk memang agak mahal, namun aktiviti ini juga menguntungkan kerana jika burung peliharaan kita dianggap istimewa, ada orang sanggup menawarkan sehingga ratusan ribu ringgit untuk membelinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 6:54 PM