Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Penguasaan sejak awal saingan membutir kejayaan buat pasukan Muar City BC apabila mereka berjaya muncul juara sulung Liga Purple Kopiko dan memenangi hadiah wang tunai RM1 juta dengan mengumpul keseluruhan 71 mata.

Naib juara milik Petaling Jaya BC yang mengumpul 55 mata, manakala tempat ketiga diraih Puchong United BC dengan catatan 45 mata.

Tewas 9-13 kepada Puchong United BC dan buat kali pertama dalam saingan liga semalam di Sports Arena Sentosa tidak memberikan sebarang kesan buat Muar City BC.

Pada perlawanan pertama membabitkan perseorangan lelaki, wakil Muar City BC, Ronald Susilo tewas kepada pemain kebangsaan, Liew Daren 8-11, 9-11, 10-11.

Puchong United BC yang berusaha keras untuk memenangi perlawanan semalam bagi mencari kedudukan kedua liga, berjaya menambah mata hasil kemenangan pemain perseorangan wanita, Aya Ohoru yang menumpaskan Rusydina Antardayu 11-7, 11-3, 11-7.

Pasangan beregu lelaki Puchong United BC, Darren Isaac Devadas-Wong Fai Yi turut mencatat kemenangan selepas menumbangkan Mak Hee Chun-Tan Bin Shen 11-7, 11-10, 7-11, 9-11, 11-8.

Gandingan beregu campuran negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing memberikan mata buat Puchong United BC apabila berjaya mengalahkan Teo Kok Siang-Chow Mei Kuan 11-10, 5-11, 11-10, 11-5.

Tan Chun Seang berjaya meraih kemenangan pertama buat Muar City apabila menumpaskan pemain perseorangan Puchong United BC, Khosit Phetpradub 7-11, 11-10, 10-11, 8-11.

Perlawanan terakhir menyaksikan Muar City BC berjaya menambah mata apabila beregu lelaki, Chow Pak Chuu-Tan Wee Kiong menang 11-10, 11-9, 11-0 ke atas Tan Wee Gieen-Yew Hong Kheng.

Pada perlawanan lain semalam, Petaling Jaya BC berjaya menumpaskan Kepong BC 16-11, manakala Cheras BC pula mengalahkan Klang United BC 14-7.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:45 AM