Mustapa  meninjau jambatan sementara Kampung Pemberian yang dibina oleh anggota tentera. FOTO Syamsi Suhaimi
Mustapa meninjau jambatan sementara Kampung Pemberian yang dibina oleh anggota tentera. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kuala Krai: Kerajaan negeri diminta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membiarkan sisa balak milik mereka hanyut ke dalam sungai hingga menyebabkan jambatan di Kampung Pemberian, Manek Urai runtuh Selasa lalu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan penguatkuasaan perlu bagi mengelakkan kejadian berulang.

Katanya, Kerajaan Pusat mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membaiki jambatan berkenaan, namun selagi ada sisa balak hanyut ia akan menyebabkan jambatan musnah.

"Masalah ini tidak akan selesai, namun Kerajaan Pusat sentiasa berusaha mencari penyelesaian untuk membina semula jambatan bagi kemudahan penduduk," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di jambatan Kampung Pemberian, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, jambatan Kampung Pemberian yang menghubungkan ke Kampung Manjor runtuh sejak Selasa lalu akibat rempuhan sisa kayu balak yang dihanyutkan air sungai.

Ia menyebabkan 2,000 penduduk di kampung itu terputus hubungan dan terpaksa menggunakan bot untuk keluar ke kampung terdekat.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudian membina jambatan sementara (jetfloat) sepanjang 80 meter untuk menggantikan jambatan yang runtuh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 1:42 PM