SUNGAI Lebir yang mudah melimpah dan mengakibatkan banjir, selain tumpuan penduduk untuk mandi apabila air surut.
SUNGAI Lebir yang mudah melimpah dan mengakibatkan banjir, selain tumpuan penduduk untuk mandi apabila air surut.

Dugaan bencana banjir terutama sejak 2014 tidak hanya membawa kesusahan kepada penduduk Kampung Pemberian dekat Kuala Krai, bahkan tuah kepada mereka apabila mula mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Pemberian Zulkifli Omar berkata, sejak bencana itu mereka menerima kunjungan pihak kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selain orang persendirian yang mahu membantu.

Katanya, bantuan untuk keselesaan penduduk sekali lagi diterima tahun lalu apabila peruntukan besar disedia kerajaan untuk membina jambatan baru menggantikan jambatan sementara yang musnah pada 30 Disember.

“Malah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) banyak bantu apabila membina jambatan sementara (jetfloat) selepas kemusnahan itu dan bersedia membina jambatan yang lebih stabil tidak lama lagi.

“Di sebalik kesusahan yang kami hadapi, ada juga limpahan rahmat yang kami peroleh daripada mereka yang prihatin.

“Syukur, kejadian itu benar-benar membuka mata banyak pihak mengenai kampung kami,” katanya yang mengemudi 2,000 penduduk termasuk dua kampung pecahan dalam mukim itu, Kampung Baru Sungai Chepa dan Kampung Ragu.

Zulkifli, 51, berkata, sejak dibuka pada 1952, kampung itu sudah melalui fasa transformasi walaupun tidak sehebat kampung di bandar.

Menurutnya, mereka ada kemudahan asas yang lengkap iaitu sebuah masjid, madrasah, dua balai raya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pemberian.

“Tidak dinafikan jika anak mahu menyambung pengajian perlu menyeberangi sungai untuk ke sekolah menengah sama ada di Laloh atau Manek Urai.

“Klinik kesihatan juga ada di Manek Urai iaitu lebih 10 kilometer dari kampung atau di Klinik Kesihatan Pahi.

“Atas sebab itu jika berlaku kecemasan, agak susah juga penduduk dapatkan rawatan segera terutama jika jambatan masih tidak boleh digunakan. Laluan alternatif yang ada lebih jauh, tambah kira-kira empat kilometer lagi untuk keluar,” katanya.

Zulkifli berkata, mereka beruntung apabila ATM mengadakan Program Jiwa Murni, baru-baru ini yang memberi peluang kepada penduduk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 5:31 AM