AB Aziz (kiri) memotong kek meraikan dua kakitangannya yang bersara sempena Majlis Maulidur Rasul, Solat Hajat dan Sanjungan Budi di Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
AB Aziz (kiri) memotong kek meraikan dua kakitangannya yang bersara sempena Majlis Maulidur Rasul, Solat Hajat dan Sanjungan Budi di Kota Bharu. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Kota Bharu: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mahu murid dan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman untuk menetap di asrama sekolah bagi memudahkan pergerakan.

Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, kebanyakan sekolah di kawasan berkenaan dibangunkan asrama untuk kesenangan golongan itu mengikuti sesi pembelajaran.

"Lagipun kita maklum kesukaran mereka untuk bergerak dari rumah ke sekolah yang jaraknya jauh, jadi asrama ini sebagai kemudahan buat mereka.

"Kita tak mahu kejadian berlaku di Kampung Pemberian, Kuala Krai (jambatan runtuh) mematahkan semangat murid dan pelajar ke sekolah," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Minggu lalu, jambatan Kampung Pemberian tenggelam akibat limpahan air Sungai Lebir dan jambatan sementara (jetfloat) dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diancam bahaya.

Berikutan itu, pada 3 Januari lalu, 62 murid dan pelajar serta 18 guru terpaksa menggunakan bot disediakan ATM untuk ke sekolah.

Ab Aziz berterima kasih kepada ATM atas usaha murni itu dan turut memasang semula jetfloat untuk memudahkan penduduk menyeberangi sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 5:19 PM