PEMBINAAN jambatan sementara. FOTO Bernama
PEMBINAAN jambatan sementara. FOTO Bernama
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina jambatan sementara (jetfloat) untuk menggantikan jambatan Kampung Pemberian yang runtuh akibat banjir Selasa lalu.

Jambatan sepanjang 80 meter di Sungai Lebir itu bagi kemudahan hampir 2,000 penduduk Kampung Pemberian untuk berulang-alik ke Kampung Manjor dan ke bandar.

Panglima 8 Briged Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, bagi pembinaan jambatan itu ATM menggunakan dua set jetfloat membabitkan 1,600 unit platform yang terapung.

"Jambatan berkenaan hanya boleh digunakan oleh pejalan sahaja untuk berulang-alik ke kampung berdekatan yang mampu menampung beban seberat sehingga 30 tan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja pembinaan jambatan sementara membabitkan lima pegawai dan 90 anggota dari 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Batalion 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16RAMD).

Harian Metro sebelum ini melaporkan, jambatan sementara Kampung Pemberian runtuh sejak Selasa lalu akibat rempuhan kuat sisa kayu balak dalam kejadian banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 5:57 PM