Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina semula Jambatan Pemberian (72 meter) yang dihanyutkan arus deras, selewat-lewatnya minggu depan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata kerja pembinaan itu dijalankan selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM30,000.

Katanya, pembinaan jambatan itu mengambil kira-kira tiga minggu untuk disiapkan dengan kekuatan kepakaran 30 anggota.

"Jambatan menghubungkan Kampung Manjor dan Kampung Pemberian akan memberi manfaat kepada dua ribu penduduk yang menggunakan kemudahan itu sebelum ini.

"Kita akan bekerja 24 jam. Jambatan ini akan menggunakan reka bentuk sebelum ini dan kita harap ia dapat digunakan sehingga Kerajaan Persekutuan membina jambatan baru," katanya selepas melawat Jambatan Sementara (jetfloat) yang dibina ATM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, penduduk di dua kampung berkenaan terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik selepas jambatan sedia ada runtuh dihanyutkan arus deras Sungai Lebir.

ATM kemudian membina Jambatan Sementara (Jetfloat) untuk kemudahan penduduk kampung terutama murid dan guru untuk ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 12:35 PM