ROHAYATI di hadapan Zatie Collection di Maju Junction, Kuala Lumpur.
ROHAYATI di hadapan Zatie Collection di Maju Junction, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Zatie Collection Resources (Zatie Collection), syarikat penjual pakaian dan aksesori wanita merancang untuk membuka pusat pemborong pakaian sebelum akhir bulan depan bertujuan memperluaskan lagi operasi perniagaan di seluruh negara.

Pengurus dan Pengasasnya, Rohayati Yusof berkata permintaan kian meningkat daripada pelanggan menjadi faktor utama kepada perancangan itu memandangkan beliau sendiri sentiasa mencari bekalan pakaian wanita yang mengikuti trend semasa.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kami memperuntukkan modal sebanyak RM200,000 sebagai salah satu strategi utama untuk memperkembangkan lagi operasi perniagaan ini,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Sehingga kini, Zatie Collection memiliki dua cawangan kedai di Maju Junction Kuala Lumpur dan empat tapak jualan termasuk di Kajang dan AU2, Keramat.

Selain koleksi pakaian dan aksesori wanita, syarikat milik Bumiputera ini turut mengeluarkan produk sendiri iaitu baju kurung dan tudung serta menjual pakaian vintage dari Amerika Syarikat dan Jepun dengan tawaran harga berpatutan.

Rohayati berkata, pihaknya yakin untuk mencapai sasaran itu berdasarkan pertumbuhan jualan semasa iaitu kira-kira 20 peratus sebulan dengan jualan antara RM30,000 hingga RM35,000 sebulan.

Menurut usahawan di bawah program pembiayaan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd (Koperasi Sahabat) itu, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pemborong pada tahun ini sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus berbanding 10 pemborong sedia ada.

“Kami menawarkan peluang berniaga kepada mereka yang berminat menjadi pemborong apabila mereka hanya perlu membeli sekurang-kurangnya 20 helai dan ke atas koleksi baju kurung, blaus dan tudung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:23 AM