ZETTY   melihat operasi pengeluaran produk tudung di kilangnya di Taman Desa Exora Senawang.
ZETTY melihat operasi pengeluaran produk tudung di kilangnya di Taman Desa Exora Senawang.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pearl Haya (PH), pengeluar tudung dan pakaian berjenama eksklusif Bumiputera, menyasarkan untuk melebarkan sayap peniagaan ke luar negara antaranya di Filipina, Indonesia, Brunei, Singapura dan Britain, bermula tahun ini.

Pengarahnya Zetty Rosli berkata, ia seiring dengan matlamat ditetapkan iaitu meningkatkan lagi pendapatan syarikat sebanyak 30 peratus menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses perbincangan fasa akhir membabitkan kerjasama dengan beberapa agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa itu, kami sedang dalam proses mengeluar produk baru dan menaik taraf produk tudung serta pakaian sedia ada sesuai dengan permintaan pengguna di negara berkenaan.

“Kami yakin menerusi produk berkualiti tinggi akan mendapat sambutan baik di negara berkenaan dan berharap usaha ini akan meletakkan PH sebagai peneraju utama produk tudung dan pakaian berjenama tempatan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bisnes Metro ketika ditemui di kilang syarikat itu di Taman Desa Exora Senawang, dekat sini.

Zetty berkata, kilangnya berupaya mengeluarkan lebih 1,000 unit tudung pelbagai jenis sehari untuk memenuhi permintaan selain daripada tudung ekspres.

“PH kini mengeluarkan paten hijab lain seperti shawl, instant shawl, inner scarf, telekung, tudung untuk haji dan umrah, tudung sekolah dan kanak-kanak serta koleksi jubah, baju kurung moden, palazzo dan blaus.

“Produk PH menggunakan material fabrik berkualiti tinggi seperti kain kapas, linen dan sutera yang tahan lama dan mengutamakan kualiti jahitan yang bermutu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:39 AM